Nafi mungkiri janji, Kula kecam MTUC

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran.

PETALING JAYA: Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran menafikan dakwaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tiada perbincangan mengenai pembaharuan undang-undang buruh, termasuk pindaan ke atas Akta Perhubungan Perusahaan (IRA) yang dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Beliau yang menyifatkan dakwaan itu “tidak bertanggungjawab” berkata, kementeriannya mengadakan sembilan mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) tahun ini dan pelbagai mesyuarat jawatankuasa teknikal sejak Januari lalu serta menemui pelbagai pihak berkepentingan.

“Saya hanya perlu mengadakan dua mesyuarat setahun dan sudah memberi keutamaan paling penting kepada rundingan tiga pihak dengan mengadakan mesyuarat ini setiap bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rundingan awam dalam talian mengenai IRA bermula Dis 2018 dan kementeriannya turut berunding dengan kerajaan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Majlis Peguam serta pelbagai badan bukan kerajaan.

Katanya, pindaan itu dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk semakan dan kini ia dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Malang untuk kenyataan tidak bertanggungjawab itu dikeluarkan apabila rundingan efektif bermula Januari dan sudah berterusan selama sembilan bulan. Proses sewajarnya rundingan efektif sudah selesai.”

Terdahulu, Setiausaha Agung MTUC, J Solomon dilaporkan berkata, Kula berbohong mengenai rundingan dengan pihak berkepentingan sebelum membentangkan pindaan itu.

Beliau turut mendakwa menteri itu membuat keputusan sendiri untuk menyerahkan cadangan pindaan IRA, Akta Kerja dan Akta Kesatuan Sekerja kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapat kelulusan.

Katanya, semua cadangan yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara itu tidak diluluskan jawatankuasa teknikal atau NLAC.

Tetapi, Kula berkata, pendapat Solomon bukan satu-satunya pandangan yang dipertimbangkan Putrajaya.

“Solomon tidak mempunyai hak untuk membuat tuduhan liar hanya kerana dia tidak mendapat apa yang dimintanya. Mereka yang memegang jawatan mewakili pekerja perlu tahu berbudi bahasa.”

Beliau turut mempertikaikan berapa kali Solomon menghadiri mesyuarat NLAC di bawah pentadbiran terdahulu.

Berdasarkan rekod kementeriannya, Kula berkata, Soloman menghadiri mesyuarat itu 10 kali dari 2012 hingga 2017.

“Kenapa dia mendiamkan diri ketika itu?”