NUJ persoal tindakan Utusan beri notis singkat, dakwa tak berjiwa besar

Pengerusi NUJ Mohd Taufik Razak berkata, 800 kakitangan Utusan Melayu hanya menerima memorandum pekeliling mengenai penutupan operasi hari ini.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu mempersoalkan tindakan syarikat itu memberi notis henti operasi terlalu singkat sebagai tidak berperikemanusiaan.

Pengerusinya, Mohd Taufik Razak berkata, kesemua kira-kira 800 kakitangan syarikat itu hanya menerima memorandum pekeliling mengenai penutupan operasi akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad.

“Pekerja sudah terima surat daripada pihak syarikat mengatakan utusan akan ditutup mulai hari ini disebabkan bangunan kami telah disita dan tidak boleh lagi beroperasi.

“Mereka memberi masa sehingga 6 petang esok untuk mengambil barang dan pekerja dicutikan sehingga 30 Oktober ini untuk diberi taklimat berhubung kedudukan terkini syarikat sama ada boleh beroperasi, diserapkan atau dibayar pampasan,” katanya pada sidang media di bangunan Utusan Melayu di sini, hari ini.

Ujarnya, pihak syarikat bersetuju membayar gaji pekerja sehingga 31 Oktober ini meskipun gaji sebelum ini tertunggak sejak September lalu.

“Dari segi kemanusiaan cara dilakukan syarikat pada hari ini memang tidak berperikemanusiaan tanpa memberitahu apa-apa pampasan dan memberi notis terlalu pendek pada kakitangan untuk keluar.

Seorang pekerja Utusan Melayu keluar dari Kompleks Sri Utusan dengan membawa barang-barang miliknya.

“Ia suatu yang tidak wajar sebab sepatutnya perkara ini boleh dirancang lebih awal tapi disebabkan kita tidak tahu apa masalah sehingga hari ini tidak nampak wakil pihak syarikat.

“Mereka hanya menyerahkan pada pihak ‘liquidator’ dan ketua jabatan di unit tertentu untuk memberikan taklimat. Tiada pengerusi eksekutif, pengurus sumber manusia, pengurus kewangan pun tiada, mereka semua lari,” kata beliau.

Bagi NUJ, Taufik menyifatkan tindakan yang dilakukan pihak syarikat pada hari ini adalah bacul dan tidak berjiwa besar untuk berdepan dengan pekerja agar memberi penerangan jelas apa keadaan sebenar, perancangan syarikat dan pampasan serta gaji.

“Perkara ini masih menjadi misteri dan memberi persoalan pada lebih 800 kakitangan yang ada.

“Surat yang pekerja terima hari ini sama seperti memo, ada menyebut akan ada perjumpaan pada 30 Ok ini,” katanya.

Pekerja-pekerja Utusan geram dan kecewa

Dalam pada itu, pekerja Utusan Melayu terpaksa melalui detik hitam apabila perkhidmatan mereka ditamatkan pada hari ini.

Menurut salah seorang jurufoto, dia menerima memorandum pekeliling mengenai pemberhentian operasi perniagaan syarikat kira-kira jam 9.30 pagi tadi menerusi kiriman mesej WhatsApp sebelum mendapat surat secara rasmi selepas itu.

“Sedih dan geram bila dapat berita mengejut pagi ini. Hari ini sudah dijangka dan gaji pekerja masih ada tunggak sebulan sebelum ini,” katanya kepada FMT.

Wajah sedih pekerja-pekerja Utusan Melayu semasa meninggalkan syarikat itu petang tadi.

Seorang wartawan akhbar Utusan Malaysia berkata, dia terkejut dengan tindakan syarikat berkenaan memberhentikan semua kakitangan secara mengejut.

“Sejak semalam kami semua sudah mendengar berita ini sehingga kami mendapat memorandum perkeliling secara rasmi pada pagi ini,” katanya.

Salah seorang pengawal keselamatan syarikat tersebut pula memberitahu nasib pekerja selepas ini masih belum ditentukan meskipun kesemua kakitangan sudah menerima surat diberhentikan kerja.

“Dalam surat menyatakan tarikh akhir bekerja hari ini tapi saya bertugas sehingga hujung bulan ini.

Seorang pekerja Utusan Melayu meninggalkan Kompleks Sri Utusan di Kuala Lumpur bersama surat makluman penutupan operasi syarikat diedarkan hari ini.

“Soal pampasan belum dinyatakan tapi satu perjumpaan antara pihak pengurusan syarikat dengan semua kakitangan akan diadakan pada 30 Oktober ini,” katanya.

Salah seorang bekas pekerja Kosmo! yang mengambil VSS pula berkata pembayaran pampasan pada awalnya dibuat pada setiap bulan mengikut gaji.

“Bayaran permulaan dibuat pada Dis tahun lalu sepatutnya dua bulan tapi hanya sebulan. Kemudian bayaran dibuat pada setiap bulan seterusnya sehingga Mei dengan bayaran separuh dan empat kali bayaran pada Jun,” katanya.

Jelasnya, dalam perjanjian VSS tersebut, bayaran dibuat dalam tempoh setahun bermula penghujung tahun lalu.

“Bayaran terakhir diterima awal bulan ini hanya RM1,000 untuk bayaran Ogos.Jika diikutkan bayaran tidak seperti apa yang dijanjikan sejak Mei lalu.

“Saya tidak tahu apa akan terjadi selepas ini, mungkin mereka (syarikat) akan menjelaskan hutang dan kemudian membayar duit VSS,” katanya.