Perlu masa selesai takrif Orang Asal Sabah, kata TKM

Timbalan Ketua Menteri Madius Tangau (tengah) merasmikan Simposium Mengenai Asal Usul Orang Asal Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak tergesa-gesa untuk meminda Ordinan Tafsiran (Definisi Orang Asal) walaupun beberapa kumpulan sekian lama bertegas agar kerajaan selesaikan itu itu.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Mengenai Asal Usul Orang Asal Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini, Timbalan Ketua Menteri Madius Tangau berkata kerajaan negeri berniat mengumpul input menyeluruh daripada semua kumpulan sebelum membuat keputusan mengenai perkara yang rumit itu.

“Simposium hari ini satu platform sedemikian di mana kami berharap dapat mengumpulkan maklumat yang akan membantu kami merumuskan pindaan kepada ordinan itu,” katanya.

Beliau mengakui pindaan ke atas ordinan itu ditangguhkan terlalu lama, tetapi kerajaan negeri masih belum bersedia untuk membentangkan cadangan pindaan pada sidang Dewan Undangan Negeri bulan depan.

Tangau menegaskan masa ini mungkin tidak tepat untuk membentangkan pindaan yang dicadangkan itu, terutama kerana kerajaan tidak mempunyai maklumat yang komprehensif mengenai isu itu.

“Simposium hari ini dapat memberikan kita pandangan yang lebih baik hasil daripada penyelidikan saintifik yang dijalankan oleh ahli-ahli akademik. Saya fikir kita memerlukan lebih banyak kajian sebelum kita dapat menentukan siapa sebenarnya penduduk asal Sabah dan yang bukan, “katanya.

Persoalan siapa Orang Asal di Sabah telah lama dibahaskan terutama kerana bawah ordinan itu, hanya beberapa etnik yang disebutkan manakala kumpulan terbesar, iaitu Kadazandusun Murut dan Bajaus tidak dinamakan secara khusus.

Kerajaan negeri terdahulu menangguhkan keputusan meminda ordinan yang digubal pada 1952 itu berulang kali kerana bimbang ia akan memecahbelahkan masyarakat Sabah yang berbilang kaum.

Awal tahun ini, Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Orang Asal Sabah Aidi Moktar dikritik kerana mencadangkan agar bangsa Bugis dan Jawa diiktiraf sebagai Orang Asal Sabah.

Walaupun orang Bugis dan Jawa dianggap sebagai Bumiputera bawah Perlembagaan Persekutuan, umumnya Orang Asal Sabah dikhaskan untuk mereka yang berasal dari Borneo Utara.

Bawah undang-undang Sabah, Orang Asal negeri itu mempunyai hak untuk menuntut tanah adat (NCR) dan mempunyai keistimewaan untuk memohon tanah bawah geran Native TItle (NT).