Polis buru 66 individu bantu siasatan kematian Adib

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed ketika sidang media di Bukit Aman, hari ini.

KUALA LUMPUR: Hanya 10 dari 66 individu yang diburu pihak polis tampil bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 26 November lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata pihaknya masih lagi menunggu individu terbabit untuk tampil memberi keterangan selepas Mahkamah Koroner memutuskan Muhammad Adib Mohd Kassim anggota bomba yang maut ketika rusuhan sebagai kes bunuh.

“Individu-individu yang gambar mereka disiarkan di media Disember tahun lalu seramai 66 orang, hanya 10 yang tampil memberi keterangan.

“Kami menyeru supaya mereka berhubung dengan pihak polis.

“Kita bagi peluang sekali lagi kepada mereka, kalau tidak ada dalam tempoh terdekat, kita akan siar gambar mereka (yang belum tampil memberi keterangan), tujuannya adalah untuk mereka tampil bantu siasatan.

“Kita percaya mereka (66 individu) berada di salah satu lokasi tersebut,” katanya merujuk kepada tiga lokasi rusuhan iaitu Menara M City Tower, kawasan kuil dan tempat jentera bomba diserang.

Beliau berkata demikian, ketika sidang media di Bukit Aman hari ini.

Disember lalu, polis mendedahkan gambar 66 individu terbabit supaya tampil memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, Huzir berkata dua saksi pakar dalam inkues itu juga akan dipanggil dalam masa terdekat.

Dua saksi itu ialah pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan perunding kanan patologi forensik di United Kingdom Dr Shahrom Abd Wahid.

Suspek dibebas tiada kaitan kes bunuh

Huzir sekali lagi menafikan empat suspek yang dibebaskan pihak polis sebelum ini tiada kaitaan dengan kes pembunuhan Adib.

Katanya, bukan empat sebaliknya 12 individu ditahan dan mereka yang dibebaskan itu terlibat dalam serangan di kawasan M City, bukannya tempat jentera bomba diserang.

“Enam orang ditangkap berada di lokasi di mana kenderaan bomba diserang. Enam orang lagi disyaki terlibat dalam rusuhan berada di lokasi insiden di M City.

“Merujuk kepada empat suspek yang dikatakan terlibat dalam kes bunuh anggota bomba, keempat-empat yang ditangkap di lokasi insiden kejadian di M City.

“Salah faham berhubung empat suspek yang dibebaskan dalam kes kematian Adib sebelum ini adalah disebabkan kekeliruan dalam laporan beberapa media tempatan.”

Katanya, sebanyak 5,178 laporan polis berhubung insiden tersebut di seluruh negara dan pihak polis membuka 69 kertas siasatan termasuk insiden kematian Adib.

“Daripada 69 kertas siasatan dibuka, tujuh dituduh di mahkamah, baki 62 dirujuk kepada timbalan pendakwa raya, 50 daripadanya diputuskan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut), manakalah 12 lagi kertas siasatan masih lagi dalam tindakan yang mana kita akan jalankan siasatan lanjut termasuk melibatkan kematian Adib, yang mana asalnya siasatan dibuat di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan kemudian kes diputuskan dan disiasat di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan menyebabkan mangsa meninggal dunia,” katanya.