RUU mansuh Akta Antiberita Tidak Benar dilulus Dewan Rakyat buat kali kedua

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2019 diluluskan hari ini selepas perbahasan selama dua hari di Dewan Rakyat.

Ini adalah kali kedua Dewan Rakyat meluluskan RUU itu, selepas cubaan pertama ditolak Dewan Negara pada Sept tahun lalu.

RUU itu diluluskan selepas 92 ahli Parlimen menyokong dan 51 lagi menentang dalam undi belah bahagian petang ini.

Akta Antiberita Tidak Benar dikuatkuasakan pada 11 April 2018 di bawah kerajaan Barisan Nasional untuk menangani penyebaran berita palsu. Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Tetapi, selepas kerajaan PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, ia membentangkan usul RUU Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, ia ditolak Dewan Negara pada bulan berikutnya selepas undi belah bahagian yang menyaksikan 28 senator undi menentang RUU itu, 21 menyokong dan tiga lagi tidak mengundi.