Tidak akan tangguh tindakan terhadap pemandu e-hailing

Mengulas tunjuk perasaan oleh pemandu e-hailing esok, Loke berkata pihak yang tidak berpuas hati tidak perlu berhimpun di depan kementerian, mengatakan tiada isu dan pihaknya memahami ketidakpuashatian mereka.

PUTRAJAYA: Tindakan terhadap pemandu e-hailing yang gagal memiliki lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) bermula 12 Okt ini tidak akan ditangguhkan lagi, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.

Beliau menambah pemeriksaan terhadap kenderaan akan dibuat secara ansur-ansur.

“Tidak bermakna 12 Okt kita akan periksa setiap kereta e-hailing. Kita masih berkuatkuasa tetapi secara ansur-ansur, bukan sekaligus periksa setiap kereta,” katanya pada sidang media di kementerian hari ini.

Putrajaya pada 12 Julai lalu memberikan masa sehingga 12 Okt kepada pemandu untuk memenuhi syarat-syarat perkhidmatan itu.

Kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing perlu memiliki lesen PSV atau bukti lulus ujian sementara menunggu lesen itu, insurans e-hailing, pelekat e-hailing di cermin depan dan belakang, cakera Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi kenderaan yang berusia lebih daripada tiga tahun, dan permit kenderaan e-hailing (EVP) daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Pada Jumaat lepas, beberapa hari lagi sebelum tarikh akhir, Apad dan Jabatan Pengangkutan Jabatan (JPJ) menetapkan dua syarat baru iaitu salinan cetakan EVP dan menukar kod kenderaan daripada “kenderaan persendirian” kepada “kenderaan persendirian e-hailing”, dengan kod khas “AH”.

Loke hari ini menegaskan kementerian tiada niat untuk menganggu operasi e-hailing, memberikan masa secukupnya kepada pemandu untuk memenuhi syarat-syarat perkhidmatan.

Sementara itu tiada dasar baru akan dibuat dan kementerian tidak akan membuat sebarang pusingan U, katanya.

“Selagi mereka ada lesen PSV mereka boleh terus memandu dan tiada masalah,” tambahnya.

Pemandu yang belum dapat kad fizikal daripada JPJ boleh menunjukkan cetakan daripada laman JPJ yang menunjukkan mereka lulus lesen PSV, katanya lagi.

Setakat ini seramai 69,053 calon lulus lesen PSV, sementara 32,667 calon gagal. Setakat 8 Okt, keseluruhannya seramai 113,118 calon menghadiri kursus PSV.

Kod khas

Sementara itu, Loke memaklumkan semua kenderaan perkhidmatan e-hailing dikategorikan sebagai “kenderaan persendirian e-hailing”, dan JPJ menyediakan kod khas “AH” bagi kenderaan berkenaan dalam sistem mySIKAP.

Beliau berkata pemilik dan pemandu kenderaan berkenaan tidak perlu ke JPJ untuk menukar kod kenderaan kerana ia akan ditukar secara automatik oleh pihak berkuasa itu.

“Kod tidak diletak di dalam geran kereta, hanya dalam sistem MySIKAP,” katanya.

Mengulas tunjuk perasaan oleh pemandu e-hailing esok, Loke berkata pihak yang tidak berpuas hati tidak perlu berhimpun di depan kementerian, mengatakan tiada isu dan pihaknya memahami ketidakpuashatian mereka.

“Pihak pengurusan tertinggi sentiasa memantau kalau ada perkara-petkara tidak puas hati akan dipermudahcarakan,” katanya.