Ujian saringan rokok pada lelaki bukan seksis, kata timbalan menteri

Lee Boon Chye berkata, tiada tindakan akan diambil ke atas kakitangan lelaki di Kementerian Kesihatan yang enggan menyertai program berhenti merokok kerana kerajaan tiada kuasa melarang orang merokok.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menafikan ujian saringan merokok yang dijalankan ke atas semua kakitangan lelaki di kementeriannya di Putrajaya hari ini adalah tindakan seksis.

Beliau berkata, ujian itu dijalankan kerana statistik kajian mendapati majoriti perokok di Malaysia adalah lelaki.

“Saya kira kita melihat kepada nisbah 3:1 sebab itu kita fokus di situ (lelaki),” katanya di lobi Parlimen hari ini.

“(Ia) bukanlah stereotaip…Kami mempunyai program gaya hidup sihat yang berterusan untuk semua kakitangan kami di pejabat kementerian.”

Bagaimanapun, katanya, tiada kakitangan yang dipaksa menyertai sebarang program berhenti merokok dan tiada tindakan akan diambil ke atas mereka yang enggan menerima bantuan itu.

“Kita tidak boleh ambil tindakan, tetapi kita akan nasihat mereka. Ia bukan di bawah bidang kuasa kami untuk melarang orang merokok.

“Tetapi, kami akan buat apa yang mampu untuk promosi gaya hidup sihat dan membantu mereka dalam apa saja cara untuk berhenti merokok.”

Terdahulu, The Star melaporkan kakitangan Kementerian Kesihatan yang didapati merokok akan diminta menyertai program membuang tabiat itu.

Saringan itu membabitkan pemeriksaan gigi dan ujian kehadiran gas karbon monoksida dalam hembusan nafas.