Umno tak dapat bantu Utusan selepas akaun dibeku kerajaan zalim, kata Zahid

Utusan Melayu diasaskan pada 1939 dan diambil alih Umno pada 1959.

KUALA LUMPUR: Umno berkata penutupan Utusan Melayu Bhd ialah bukti kezaliman kerajaan Pakatan Harapan yang membekukan akaun parti itu menyebabkan ia tidak dapat membantu akhbar berkenaan dari segi kewangan.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi berkata hanya Umno yang mampu dan sering membantu Utusan Melayu dari segi kewangan menggunakan wang dalam akaun parti itu.

“Ia sebahagian kezaliman yang dilakukan kerajaan sekarang akibat pembekuan itu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Julai tahun lalu, Pasukan Petugas Khas 1MDB mengumumkan ia membekukan 408 akaun bank milik individu, parti politik dan badan bukan kerajaan, termasuk Umno serta parti politik lain yang membabitkan dana RM1.1 bilion dari 26 hingga 29 Jun 2018 kerana dipercayai menerima dana daripada 1MDB.

Terdahulu, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam surat makluman kepada kakitangannya berkata, akhbar berusia 80 tahun itu menghentikan operasi hari ini.

Utusan Melayu diasaskan Yusof Ishak pada 1939, sebelum diambil alih Umno pada 1959 dan seterusnya oleh Aziz pada Feb lalu.

Isnin lalu, Utusan Melayu mengumumkan ia akan melepaskan 70 peratus pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, pemegang saham utama Media Prima Berhad.

Utusan Melayu dilaporkan berkata, penjualan saham itu demi memastikan kesinambungan penerbitan kedua-dua akhbar arus perdana itu.

Hari ini, Zahid yang sedih dengan nasib kakitangan Utusan berkata, Umno tidak lagi memegang saham dalam Utusan Melayu.

Tetapi, beliau berharap pihak pengurusan dan pemilik syarikat itu akan memikirkan cara untuk membantu kakitangannya.