Utusan akan terbit semula bawah pengurusan baru, kata pengerusi eksekutif

Seorang pekerja meninggalkan Kompleks Sri Utusan di Kuala Lumpur selepas menerima notis henti operasi Utusan Melayu pagi ini.

PETALING JAYA: Utusan Malaysia, terbitan Utusan Melayu yang dihenti operasi mulai hari ini selepas 80 tahun, akan muncul semula di pasaran di bawah pengurusan baru, kata Pengerusi Eksekutifnya Abd Aziz Sheikh Fadzir.

Selain Utusan Malaysia, Utusan Melayu juga menerbitkan Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad.

Bagaimanapun beliau tidak menyebut tarikh ia akan diterbitkan semula.

Sumber memberitahu FMT pengurusan baru akan menerbitkan kesemua akhbar itu dalam dua bulan lagi atau Jan 2020.

“Utusan akan kembali muncul. Kami sedang melakukan proses penggulungan syarikat asas tetapi pegangan lesen penerbitan dimiliki oleh Aurora Mulia dan mereka akan melancarkan semula penerbitan dalam waktu terdekat,” kata beliau dipetik theedgemarkets.com.

Mengenai nasib pekerja Utusan Melayu, beliau berkata penggajian mereka bergantung kepada pemegang saham utama baru kelak.

Dalam memorandum pekeliling dikeluarkan pagi tadi, Abd Aziz berkata Utusan Melayu akan berhenti operasi berkuat kuasa hari ini susulan keputusan lembaga pengarah 7 Okt meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan seterusnya meluluskan pelantikan UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim.

Tengah hari tadi, Pengerusi Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Cawangan Utusan Melayu Mohd Taufek Razak berharap kesemua 862 kakitangan dikekalkan di bawah pengurusan baharu.

Beliau berkata keputusan syarikat untuk memberhentikan operasi berkuat kuasa hari ini menyebabkan pekerja keliru kerana mereka hanya menerima memorandum pekeliling dan masih tidak mendapat surat pemberhentian kerja.

“Memang ada ura-ura mengenai pengurusan akan membuat proses pembuangan kerja tapi kami harap di bawah pengurusan baharu, mereka dapat terus terbitkan Utusan dan mengekalkan kesemua pekerja,” kata beliau pada sidang media.

Kompleks Sri Utusan di Kuala Lumpur telah disita dan tidak lagi boleh beroperasi manakala pihak pelikuidasi memberi masa sehingga esok untuk mengemas keperluan dan kakitangan dicutikan sehingga 30 Okt.

Utusan Melayu memiliki kilang percetakan utama di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata pekerja Utusan Melayu boleh memohon bantuan daripada Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Katanya, SIP bertindak sebagai jaminan sosial yang bertujuan membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan memberikan bantuan kepada mereka.

SIP ini adalah satu sistem insurans pekerjaan, di mana selama enam bulan selepas diberhentikan pekerja akan diberikan bayaran gaji.

“Ketika itu, SIP juga akan membantu mencari kerja alternatif, mereka juga akan mendapatkan majikan untuk menemu duga pekerja berkenaan,” katanya dipetik Bernama.

Hari bekerja terakhir bagi pekerja Utusan Melayu ialah hari ini manakala hari terakhir perkhidmatan ialah pada 31 Okt.