White House tolak siasatan Kongres pecat Trump

White House berkata tidak akan memberi kerjasama berhubung siasatan terhadap Presiden Donald Trump kerana menyifatkan tindakan itu sebagai “tidak sah”. (Gambar AFP)

NEW YORK: White House tidak akan memberikan kerjasama berhubung siasatan terhadap Presiden Donald Trump kerana menyifatkan tindakan itu sebagai “tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan”, lapor agensi berita Anadolu.

Perkara itu dimaklumkan menerusi surat yang dihantar kepada Demokrat semalam.

Surat setebal lapan muka surat itu antara lain mengatakan tiada keperluan untuk mengadakan siasatan dan tindakan itu tidak tertakhluk dalam Perlembagaan Amerika Syarikat (AS).

“Presiden tidak melakukan sebarang kesalahan dan Demokrat tahu tentang itu,” kata setiausaha akhbar Rumah Putih Stephanie Grisham dalam satu kenyataan.

“Tindakan itu adalah penghinaan kepada perlembagaan kerana menafikan hak presiden untuk memanggil saksi, memperoleh akses kepada bukti.”

Surat yang ditulis peguam Trump, Pat Cipollone, menuduh Parti Demokrat berusaha “membatalkan keputusan” pilihan raya 2016 sambil cuba merosakkan peluang Trump untuk dipilih semula pada 2020.

Pada 24 Sept Demokrat mahu menjalankan siasatan terhadap Trump berikutan terdapat maklumat mengatakan presiden itu berulang kali menekan Ukraine untuk campur tangan dalam pilihan raya presiden 2020.

Sementara itu, pada 25 Julai lalu menerusi perbualan telefon antara Presiden AS dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, di mana Trump berulang kali menekan Zelensky untuk menyiasat bekas Naib Presiden Joe Biden dan anaknya, Hunter, atas dakwaan rasuah yang tidak berasas.

Biden adalah calon utama Demokratik yang akan menyertai pilihan raya presiden tahun depan, merupakan pencabar politik utama Trump.

Trump, wakil rakyat Republikan berulang kali menafikan beliau melakukan salah laku dan menuduh Demokrat hanya membuang masa.