Ayuh bantu..jangan ‘dera’ anak kerana nasib malang kakitangan Utusan

Siapa sangka nasib yang bakal menimpa kakitangan Utusan Malaysia, setelah syarikat itu beroperasi 80 tahun akhirnya ditutup menyebabkan nasib 800 kakitangan tidak dibela.

Mereka semua ibarat hidup di dalam dunia yang penuh kegelapan, hilang arah dan tujuan untuk mencari sesuap nasi demi menyara isteri dan anak-anak.

Ada juga yang suami isteri berkhidmat di syarikat yang sama, kedua-dua hilang mata pencarian untuk membeli sebarang keperluan asas seperti makanan dan ubat-ubatan untuk anak mereka.

Namun, setelah pihak pengurusan cuba bertahan dalam keadaan bebanan hutang yang tinggi, ditambah pula dengan pembayaran gaji yang tertunggak sebulan, mereka diistiharkan tutup secara rasmi semalam.

Ramai yang simpati dengan nasib kakitangan ini, cuba membantu dari segi mendapatkan peluang pekerjaan.

Ada juga pihak yang cuba membantu dari segi penyediaan barangan keperluan asas seperti minyak, gula, beras dan susu.

Dan salah satunya ialah menerusi posting terbaru dalam laman sosial Facebook dimana Pengasasnya, William Cheah berkata pihaknya bersedia memberi bantuan dari segi keperluan asas kepada kakitangan Utusan yang kini dihimpit dengan masalah kewangan dan hilang pekerjaan.

“Kepada semua kakitangan Utusan Malaysia yang kehilangan pekerjaan, jangan segan untuk dapatkan barangan keperluan asas daripada K3C (Kembara Kitchen-Catering di Kuala Lumpur dan Selangor) jika anda tidak cukup untuk menyediakannya kepada keluarga anda.

“Cuma perlu menunjukkan sahaja kad kakitangan sahaja, jika tidak ada, anda perlu menyatakan sahaja yang anda adalah kakitangan Utusan,” katanya dalam posting itu.

Mengukuhkan posting tersebut, Pengurus Koordinator Azren Harun berkata adalah menjadi matlamat mereka untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan termasuk kakitangan Utusan Malaysia.

“Kita tahu banyak kakitangan Utusan yang tengah susah, macam mana nak beri barang keperluan, barang-barang asas seperti minyak, gula, beras, mereka boleh datang kepada kita untuk mengambil keperluan ini untuk dikongsi bersama,” katanya kepad FMT.

Menurut Azren lagi, K3C telah berkhidmat sejak tiga tahun lalu dengan menyediakan perkhidmatan katering, sekaligus menyalurkan sedikit keuntungan dengan memberi bantuan kepada orang ramai yang memerlukan.

Antaranya, rumah anak yatim, warga emas serta mereka yang berkeluarga tetapi susah untuk menampung keperluan asas untuk anak-anak.

Selain itu ada juga pihak terntu bertindak menyalurkan sumbangan untuk diberikan kepada mereka yang berhak.

“Mereka boleh hubungi kita pada bila-bila masa sahaja, tidak kira siang atau malam, kita set masa untuk berjumpa dan mereka boleh datang ke tempat kita untuk mengambil barang keperluan.

“Jangan malu, tiada apa-apa borang yang mereka perlu isi, mereka hanya datang dan ambil sahaja barang-barang asas yang kita ada,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, setakat ini belum ada mana-mana kakitangan Utusan yang datang kepada K3C untuk mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, bekas kakitangan Utusan Malaysia, Mohd Azraie Md Yusof berkata dia sangat terharu dan sebak dengan keprihatinan yang ditunjukkan banyak pihak termasuk K3C dalam meberi bantuan kepadanya dan kakitangan yang lain.

“Kami semua sebulan tidak mendapat gaji, jadi sememangnya kami sangat memerlukan beberapa barang keperluan, kalau nak beli pun tiada wang berlebihan, hanya cukup makan sahaja, kakitangan seperti saya dan kawan-kawan Utusan lain sangat bersyukur ada ramai pihak yang sudi membantu seperti K3C dalam menyediakan barang keperluan asas untuk anak-anak kami,

“Saya berterima kasih sangat kepada mereka, sudah pasti untuk sementara ini kami akan pergi mendapatkan barang keperluan tersebut untuk menampung kehidupan kami dan anak-anak,” katanya kepada FMT.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]