Azmin dedah 84 aset Khazanah dijual pada zaman Najib

Mohamed Azmin Ali mendedahkan kerajaan Barisan Nasional menjual sebanyak 84 aset Khazanah di bawah pemerintahan bekas perdana menteri, Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Putrajaya hari ini berkata, keputusan kerajaan menjual aset Khazanah Nasional bukanlah perkara baru dan hanya berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, perkara sama turut dilakukan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), selain mendedahkan sebanyak 84 aset Khazanah dijual di bawah pemerintahan bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Pelupusan aset ini bukanlah satu aktiviti baru. Dalam pentadbiran tahun 2009-2018 ia turut dilakukan.

“Pada 2009 yang menjadi perdana menteri adalah ahli Parlimen Pekan (Najib), beliau melupuskan lapan aset, 2010 lupus tujuh aset, 2011 lupus lapan aset, 2012 10 aset dilupuskan, 2013 enam, 2014 enam aset.

“Pada 2015 10 aset, 2016 13 dilupuskan, 2017 12 aset, empat bulan pertama 2018 beliau lupus empat aset. Jumlah aset Khazanah yang dilupus oleh Pekan adalah 84. Jadi bagaimana Pekan ingin menyanggah keputusan kerajaan baru (jual aset) untuk memastikan pulangan yang kita perolehi lebih baik,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian, ketika menjawab pertayaan Ahmad Hamzah (BN-Jasin) yang meminta menteri menjelaskan apakah justifikasi kerajaan menjual aset Khazanah yang mendatangkan pulangkan yang baik ketika pasaran menurun.

Beliau juga meminta kerajaan menjelaskan punca Khazanah mengalami kerugian RM6.3 bilion pada 2018, selain terkejut dengan pengumuman menteri kononnya keuntungan yang diperoleh adalah RM5 bilion sedangkan banyak aset dijual.

Azmin kemudian menjelaskan kerugian yang dihadapi pada 2018 adalah berpunca daripada kelemahan pelaburan kerajaan terdahulu.

“Kerajaan mengambil maklum khazanah mengalami kerugian RM6.3 bilion pada 2018, saya juga nak tegaskan kerugian dicatatkan ini adalah hasil daripada pelaburan tidak strategik oleh pentadbiran lama. Aset-aset yang mereka labur tidak beri nilai tambah dan tidak beri pulangan baik kepada Khazanah, sebab itu kita mengalami kerugian cukup besar.

“Namun saya juga nak rakam dalam dewan ini bahawa kerugian ini sebenarnya tercatat dalam pentadbiran lalu, tetapi tidak diambil kira rosot nilai dalam penyata kewangan. Tidak berlaku ketelusan dalam pengurusan kewangan pada ketika itu.

“Sebab itu apabila kerajaan baru ambil alih, kita mengambil kira rosot nilai aset yang dibuat pentadbiran lama, sebab itu kita dapat maklumkan kerugian dialami ialah RM6.3 bilion,” katanya.

Azmin berkata langkah kerajaan melupuskan 16% kepentingan atau 1.40 bilion saham dalam IHH Healthcare Bhd (IHH) kepada Mitsui & Co Ltd membabit pertimbangan tunai RM8.42 bilion atau RM6 sesaham yang mampu meningkatkan keuntungan.

“IHH kita miliki saham 42%, yang kita lupus 16% kepada Mitsui dan kita dapat keuntungan 20% daripada harga pasaran.

“Ini bukti pelaburan Jepun masuk Malaysia. Saya harap Jasin faham aset kita jual dapat nilai terbaik dan tidak mengalami kerugian dan tujuan nak bayar hutang yang terpaksa kami tanggung kerana ketua YB sebelum ini,” katanya.

Azmin berkata, keputusan kerajaan menjual aset Khazanah bertujuan mendapatkan pelabur baru.