Belia mahu polisi bayar balik PTPTN diperbaharui dalam Belanjawan 2020

Rata-rata mahasiswa menunggu mekanisme yang membolehkan mereka membayar hutang pendidikan yang lebih jelas dan tidak membebankan.

PETALING JAYA: Wakil Parlimen Belia Malaysia berharap kerajaan pusat memperkenalkan pembaharuan polisi pembayaran semula hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) dalam Belanjawan 2020.

“Sebagai belia saya mengharapkan kerajaan lebih menumpukan kepada pelan yang mendatangkan manfaat besar kepada peminjam dan mahasiswa berbanding keuntungan sendiri,” kata ahli Parlimen Belia Selangor, Amin Mubarak ketika dihubungi FMT.

Katanya, mekanisme pembayaran semula pinjaman tabung pendidikan itu perlu lebih jelas kerana ia melibatkan bukan sahaja golongan mahasiswa, tetapi kumpulan masyarakat lain.

Amin berkata beliau mengharapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat mengembalikan semula polisi pengecualian bayaran pinjaman kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam keputusan graduasi mereka.

Amin Mubarak.

Katanya, inisiatif tersebut sedikit sebanyak dapat memberikan impak positif kepada pengajian para peminjam.

“Walaupun inisiatif ini merupakan inisiatif kerajaan yang lepas, namun ia lebih mendekati mahasiswa dan memberi kelebihan kepada mereka untuk mengelak daripada menanggung hutang yang besar selepas graduasi,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dijadual membentangkan Belanjawan 2020 esok.

Amin berharap kerajaan dapat menjalankan inisiatif seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH dengan menangguhkan pembayaran PTPTN secara berfasa sehingga peminjam mendapat gaji RM4,000.

“Mungkin untuk fasa awal kita boleh mulakan dengan tangga gaji RM2,500 kerana majoriti graduan baru sukar untuk mencapai gaji setinggi itu berdasarkan kajian oleh beberapa badan di Malaysia,” katanya.

Danial Khaleq Mohd Ali.

Sementara itu, ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan (Adun) Belia, Danial Khaleq Mohd Ali berkata, beliau tidak mahu melihat isu pinjaman PTPTN dijadikan modal yang dipolitikkan oleh ahli politik.

“Kerana kamu bergaduh sana-sini, kami yang jadi mangsa,” katanya ketika dihubungi FMT.

Katanya, rata-rata anak muda menunggu mekanisme yang akan membolehkan peminjam membayar hutang tanpa terlalu membebankan mereka.

“Kami juga hendak pastikan PTPTN mempunyai kelangsungan kewangan untuk masa depan adik-adik kami pula,” kata beliau.