BN umum calon Tg Piai hujung bulan ini

Annuar Musa.

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional dijangka mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada hujung bulan ini, kata Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa.

Katanya, Umno dan parti komponen BN sudah menghantar senarai calon kepada Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dua hari lalu.

“Kami harap dapat umum calon seminggu sebelum hari penamaan. Itu akan diputuskan Dewan Tertinggi BN dalam mesyuarat pada 26 atau 27 Oktober depan.

“Atau kita terpaksa tunggu PH (Pakatan Harapan) umum calon dan kita akan umum calon kita selepas itu,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Pada 5 Okt lalu, Zahid yang juga presiden Umno memberi bayangan parti itu bakal bertanding pada PRK Tanjung Piai.

Katanya, walaupun Tanjung Piai adalah kerusi tradisi MCA, tetapi pengundi Melayu mahu perubahan di kawasan itu dan Umno boleh bertanding pada PRK bulan depan, jika MCA memberi laluan kepadanya.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini dan penamaan calon pada 2 Nov ini susulan kematian penyandangnya, Md Farid Md Rafik yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lalu akibat komplikasi jantung.

Farid yang juga naib ketua PPBM Tanjung Piai, memenangi kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan majoriti 524 undi, selepas menewaskan Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

Mengulas lanjut, Annuar berkata, BN baru selesai menjalani kajian dan tinjauan mengenai sensitiviti serta sikap pengundi di kawasan itu dan mendapat pelbagai maklum balas dari peringkat akar umbi.

Kayanya, hasil kajian itu sudah diserahkan kepada Zahid untuk dinilai dan diambil tindakan lanjut.

“Ada yang nak Umno sebab MCA tidak menang baru-baru ini, kenapa tidak cuba calon daripada Umno?

“Ada juga nak MCA sebab kalah tidak banyak, kenapa tidak beri peluang kedua kepada MCA? Jadi, biar presiden yang buat keputusan.”