Cakap-cakap tentang ‘kontrak sosial’ tidak berfaedah, kata penganalisis

Penganalisis berkata, masyarakat ‘tidak boleh berfungsi’ jika rakyat tidak komited pada perlembagaan.

PETALING JAYA: Seorang pakar sains politik menyifatkan cakap-cakap mengenai kontrak sosial antara kaum di Malaysia sebagai tidak berfaedah dengan berkata dokumen berhubung perkara itu tidak wujud.

Bercakap kepada FMT, Chandra Muzaffar berkata, kumpulan yang bercakap tentang “kontrak” berkenaan berkemungkinan merujuk kepada persetujuan yang dicapai oleh parti komponen Perikatan pada satu masa dulu, iaitu Umno, MCA dan MIC.

Pada 1955, dua tahun sebelum Malaya mencapai kemerdekaan, Perikatan membentuk kerajaan selepas kemenangan besarnya dalam pilihan raya majlis persekutuan yang pertama.

Suruhanjaya Reid, yang ditubuhkan oleh kerajaan British dan Malaya ketika itu untuk menyediakan perlembagaan negara, mendapatkan pandangan rakyat, termasuk menerima satu memorandum daripada Perikatan.

“Memorandum tersebut menyebut tentang beberapa isu yang kemudiannya dimasukkan ke dalam perlembangaan,” kata Chandra, dengan menambah isu tersebut, termasuklah persoalan kewarganegaraan, kedudukan orang Melayu, bahasa Melayu, Raja-raja Melayu dan agama Islam.

“Walaupun memorandum Perikatan itu tidak kelihatan dalam perlembagaan, namun ideanya dimasukkan ke dalamnya.”

Chandra Muzaffar.

Beliau berkata, istilah “kontrak sosial” dipopularkan pada dekad 1980-an oleh Abdullah Ahmad, yang ketika itu merupakan ahli Parlimen Kok Lanas.

Beliau berkata, oleh sebab istilah itu tidak mempunyai status undang-undang, maka rakyat Malaysia sepatutnya merujuk kepada perlembagaan persekutuan ketika membincangkan isu kewarganegaraan kaum, bahasa, agama dan kedudukan Raja-raja Melayu.

“Perlembagaan merupakan dokumen yang seimbang,” katanya.

Beliau berkata, perlembagaan dipinda pada 1971 bagi memperkuatkan peruntukan berkaitan kedudukan Raja-raja, status bahasa Melayu dan hak untuk mempelajari bahasa lain, kewarganegaraan dan kedudukan istimewa orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak dan hak sah kaum lain.

“Ia diperkuatkan berikutan perdebatan tidak sihat mengenainya sebelum tercetusnya rusuhan 13 Mei 1969 dan bertujuan mengendurkan perdebatan sedemikian.”

Chandra berkata, masyarakat tidak akan “berfungsi” sekiranya rakyat tidak komited pada perlembagaan.

“Malangnya, terdapat sesetengah golongan yang terlibat dalam perdebatan tidak sihat itu memetik hanya sebahagian daripada perlembagaan. Misalnya pihak yang bercakap tentang kedudukan istimewa orang Melayu, tetapi secara sedar mengabaikan hakikat bahawa perlembagaan juga menyebut tentang hak sah komuniti lain.”

Merujuk kepada ucapan kontroversi ketua penganjur Kongres Maruah Melayu, Zainal Kling, Chandra berkata, apabila bercakap tentang kerakyatan, ahli akademik itu sepatutnya menyebut bahawa kerakyatan orang bukan Melayu tidak boleh dipersoalkan.

Chandra juga berkata, tidak ada apa-apa yang boleh menghalang mana-mana orang daripada bercakap tentang pelaksanaan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan.

“Sebagai contoh, walaupun kita tidak boleh mempersoalkan raja berperlembagaan, ia tidak bermakna raja yang melakukan jenayah kebal undang-undang. Kita juga boleh mempersoalkan sama ada seorang Bumiputera yang membeli rumah berharga berjuta-juta ringgit perlu diberikan diskaun Bumiputera.