Cara China layan Muslim ‘pelanggaran hak asasi manusia besar’

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo berkata layanan China terhadap komuniti Muslim, termasuk Uighur di China barat satu “pelanggaran hak asasi manusia besar” dan Washington akan terus membangkitkan isu itu.

“Ini bukan sahaja pelanggaran hak asasi manusia besar, tetapi kami tidak fikir ia kepentingan terbaik bagi dunia ataupun China melibatkan diri dalam tingkah laku sedemikian,” kata Pompeo dalam wawancara televisyen dengan PBS.

Ditanya sama ada Presiden China Xi Jinping bertanggungjawab, Pompeo berkata: “Xi Jinping memimpin negara seperti pemimpin platun, perniagaan kecil atau setiap negara bertanggungjawab atas perkara-perkara yang berlaku di bawah nama anda.”

Sebahagian tindakan menghukum Beijing berhubung layanan ke atas minoriti Muslim, kerajaan AS minggu ini memperluaskan senarai hitam perdagangan untuk memasukkan beberapa firma perisikan kecerdasan buatan China dan mengumumkan sekatan visa ke atas kerajaan China dan para pegawai Parti Komunis yang dipercayai bertanggungjawab dalam tindakan menahan atau penyalahgunaan minoriti Islam Wilayah Xinjiang.

Pompeo pada Ahad menyeru semua negara membantah tuntutan China yang mahu etnik Uighur dihantar balik, berkata kempen Beijing di rantau Xinjiang barat China adalah “usaha menghapuskan warganya sendiri.”

Pakar dan aktivis PBB berkata sekurang-kurangnya satu juta orang Uighur, dan anggota kumpulan minoriti Muslim yang lain, telah ditahan di kem di daerah terpencil.

China telah menafikan sebarang layanan buruk terhadap Uighur, dan berkata Xinjiang adalah urusan dalamannya.

Kedutaan China di Washington, dalam satu kenyataan berasingan dikeluarkan pada Selasa, mengutuk tindakan berkaitan visa dan berkata tuduhan AS terhadap pelanggaran hak asasi manusia adalah “alasan tersendiri” untuk mengganggu urusan dalaman China.