DAP terkejut 2 wakil rakyatnya ditangkap, sedia bantuan guaman

Lim Guan Eng.

PETALING JAYA: DAP akan menyediakan pasukan peguam bagi mewakili dua pemimpinnya yang ditangkap polis atas dakwaan penglibatan dengan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kata Setiausaha Agung Lim Guan Eng hari ini.

Mereka akan diwakili ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.

Polis menahan Adun Gadek G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran.

Ketua antipengganas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata seramai tujuh orang ditangkap, dan berkata polis memantau pergerakan mereka sejak November tahun lalu.

Lim berkata DAP percaya wakil rakyatnya yang ditangkap itu tidak bersalah.

“Penglibatan mereka dalam DAP setakat ini tidak menunjukkan mereka terlibat dalam sebarang aktiviti yang lain daripada pendirian parti mengenai kesederhanaan, tanpa kekerasan dan penyelesaian aman.

“Tangkapan itu mengejutkan dan saya memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa parti ini akan berada dibelakang dua wakil rakyatnya,” kata Lim dalam kenyataan.

P Gunasekaran.

Beliau berkata mereka akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma, yang membenarkan penahanan selama 28 hari.

“Polis menjanjikan siasatan yang cepat bagi membolehkan kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan kedua-dua pemimpin DAP kami dilepaskan awal.”

Lim, yang juga menteri kewangan berkata, polis mendakwa ia mempunyai bukti kukuh dalam membuat tangkapan itu dan merujuk kepada peringkat tertinggi semua pihak berkuasa berkaitan sebelum bertindak.

“Saya juga dimaklumkan sementara lebih ramai orang akan ditangkap atas dakwaan kaitan dengan LTTE, tiada pemimpin atau wakil rakyat DAP jadi sasaran.

“Kedua-dua wakil rakyat kami itu dipuji polis kerana memberi kerjasama sepenuhnya dan secara tenang dengan polis semasa tangkapan.”

Parti meminta Naib Pengerusi DAP M Kula Segaran mewakili parti itu sebagai perantara dengan pihak berkuasa berkaitan, wakil rakyat kami dan ahli keluarga.

“DAP berharap kedua-dua wakil rakyat kami akan menerima kesukaran ini sebagai satu cabaran, dan menghadapinya dengan ketahanan dan kepercayaan.

“Mereka mesti percaya kebenaran tidak hanya akan diketahui dan kekal, tetapi juga akan membebaskan mereka.”