Dasar reformasi terkini Saudi, wanita boleh sertai tentera

RIYADH: Arab Saudi membenarkan wanita negara itu berkhidmat dalam angkatan bersenjata, kemajuan terbaru di bawah program pembaharuan ekonomi dan sosial menyeluruh diperkenalkan negara itu.

Ia langkah terkini dalam siri tindakan diambil bagi meningkatkan hak wanita di Saudi, walaupun kumpulan hak asasi menuduh Riyadh masih mengambil tindakan keras ke atas aktivis-aktivis wanita.

“Satu lagi langkah memberi kuasa (kepada wanita),” kata kementerian luar menerusi Twitter, sambil menambah, wanita akan dapat berkhidmat sebagai prebet, koperal atau sarjan.

Tahun lepas, Arab Saudi membenarkan wanita menyertai pasukan keselamatan.

Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pemerintah de facto, telah meluluskan beberapa reformasi bertujuan memperluaskan sempadan hak wanita, termasuk membenarkan mereka memandu dan boleh mengembara ke luar negara tanpa memerlukan persetujuan penjaga lelaki.

Tetapi beliau pada masa yang sama didakwa mengawasi penangkapan beberapa aktivis hak wanita terkenal, termasuk aktivis Loujain al-Hathloul.

Arab Saudi, pengeksport minyak mentah terbesar di dunia, sedang berusaha meningkatkan imejnya dan menarik pelancong iaitu sebahagian daripada rancangan untuk mempelbagaikan ekonomi tanpa bergantung kepada sumber minyak.