Dr M bayangkan tiada potongan cukai dalam Bajet 2020

Dr Mahathir Mohamad tiba di Persidangan dan Pameran Antarabangsa Produk Teknologi Hijau dan Eko di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan tiada pengurangan cukai menjelang pembentangan Bajet 2020 esok.

Perdana menteri berkata, beliau sudah meneliti permintaan rakyat untuk kerajaan mengurangkan cukai dan meningkatkan subsidi.

“Tetapi, itu bercanggah. Anda tidak boleh turunkan cukai dan kemudian naikkan subsidi, perlu ada keseimbangan,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Produk Teknologi Hijau dan Eko di sini hari ini.

Mahathir berkata, kerajaan memerlukan wang jika ia mahu meningkatkan kadar subsidi.

Katanya, kerajaan mungkin mengenakan cukai lebih banyak kepada golongan kaya berbanding golongan miskin kerana “ia adalah prinsip di sebalik cukai kami”.

“Jika anda turunkan (cukai) terlalu banyak, anda tiada wang dan tidak boleh memberi subsidi,” katanya sambil menambah subsidi tidak boleh diberikan kepada “semua orang”.

Sebaliknya, beliau berkata, ia akan disalurkan kepada kumpulan sasar, walaupun dalam kalangan B40 kerana ada individu dalam kategori itu tidak memerlukan subsidi.

“Kami akan meneliti siapa yang patut menerima subsidi daripada kerajaan.”

Penutupan Utusan Melayu 

Mahathir berkata, sebahagian pekerja Utusan Melayu Bhd akan diambil bekerja dengan syarikat baru, susulan penutupan syarikat akhbar berusia 80 tahun itu semalam.

“Akan ada syarikat baru ambil alih Utusan.”

Semalam, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu, Abd Aziz Sheikh Fadzir dilaporkan berkata, akhbar Utusan Malaysia yang diterbitkan syarikat itu akan muncul semula di pasaran di bawah pengurusan baru.

Utusan Melayu yang diasaskan pada 1939 berhenti operasi semalam selepas lembaga pengarahnya pada 7 Okt lalu meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan melantik UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim.

Ia selepas Utusan Melayu pada Isnin lalu mengumumkan pelepasan 70 peratus pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, pemegang saham utama Media Prima Berhad.