Gergasi binaan tawar RM3 bilion beli PLUS, janji turun tol hingga 40%

Widad Business Group turut memberi jaminan tiada pemberhentian pekerja dalam tempoh lima tahun selepas pengambilalihan PLUS.

KUALA LUMPUR: Widad Business Group (WBG) membuat penawaran untuk membeli konsesi PLUS Expressways Bhd dengan mengambil alih 51 peratus kepentingan milik Khazanah Nasional Bhd melibatkan pertimbangan tunai sebanyak RM1.5 bilion atau 100 peratus konsesi milik Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada pertimbangan tunai sebanyak RM3 bilion.

Cadangan pengambilalihan itu dikemukakan kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 9 Okt, kata konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu itu dalam kenyataan hari ini.

Lebuh raya yang terlibat dalam konsesi PLUS Expressways Bhd ialah Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuh Raya Laluan Kedua Malaysia, Jambatan Pulau Pinang, Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuh Raya Butterworth Kulim dan Lebuh Raya Seremban-Port Dickson.

“Sekiranya Widad berjaya mengambil alih syarikat konsesi, kumpulan itu akan mengurangkan caj tol semasa sebanyak 25 hingga 40 peratus.

“Ini sejajar manifesto kerajaan mengurangkan beban rakyat yang kami sokong sepenuhnya. Kami juga mahu membantu kerajaan dengan mengecualikan bayaran pampasan yang belum dijelaskan kerajaan kepada PLUS bernilai RM338.5 juta setakat 31 Dis 2018,” kata Pengerusi Eksekutifnya, Muhammad Ikmal Opat Abdullah.

Kedua-dua tawaran itu termasuk melupuskan pampasan tol bernilai RM2.7 bilion yang ditanggung kerajaan susulan pemansuhan kutipan tol di Plaza Batu Tiga dan Bukit Kayu Hitam.

Kumpulan itu turut mencadangkan diskaun 50 peratus bayaran tol pada musim perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali sepanjang tempoh yang difikirkan sesuai.

Ikmal berkata, kumpulan itu akan berusaha menaik taraf kemudahan sedia ada, melaksanakan teknologi risikan buatan bagi meningkatkan pengurusan lebuh raya dan lalu lintas, selain jaminan tiada pemberhentian pekerja dalam tempoh lima tahun selepas pengambilalihan itu.

Kumpulan itu sudah mengenal pasti rakan/pelabur strategik global bagi membiayai pengambilalihan yang dicadangkan itu, selain dana dalaman kumpulan dan pelan pengumpulan dana melalui sukuk berjangka sederhana serta terbitan ekuiti.

Ikmal ialah pengasas dan peneraju Kumpulan Widad Business, syarikat korporat yang menyediakan lebih 1,500 pekerjaan di seluruh negara.

WBG diperbadankan pada 2002 bagi memenuhi keperluan semakin meningkat ke atas kontraktor Bumiputera berkaliber untuk berkhidmat dalam pertumbuhan dan perkembangan ekonomi negara yang pesat.

Kumpulan itu sudah berkembang dan mempelbagaikan kegiatannya dalam pengurusan, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan kemudahan bersepadu, perkhidmatan mekanikal dan elektrik, sistem automasi bangunan, pengurusan tenaga, pembangunan hartanah, pendidikan, perkhidmatan media dan ICT, perhotelan, akuakultur serta minyak dan gas.

Awal minggu ini, Mahathir dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan pengambilalihan PLUS jika ia memenuhi tuntutan negara.

Firma ekuiti swasta yang berpangkalan di Hong Kong, RRJ Capital menyuarakan minat untuk membeli PLUS pada harga RM3.5 bilion.

Bagaimanapun, Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Riza Ridzuan pada 6 Okt berkata, syarikat itu tidak berhasrat menjual aset strategiknya kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, KWSP yang memiliki 49 peratus pegangan dalam PLUS berkata ia akan mempertimbangkan penjualan sahamnya di PLUS jika menerima tawaran baik.

Khazanah memiliki 51 peratus saham dalam PLUS, manakala KWSP sebanyak 49 peratus, susulan pengambilalihan pada 2011 dalam urus niaga bernilai RM32 bilion.