Harimau Malaya tewas 0-1 di tangan Vietnam

Kapten Vietnam Nguyen Viet Phong berebut bola dengan Muhammad Akhyar Rashid semasa berlawan di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi malam tadi. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Pasukan bola sepak kebangsaan tewas 0-1 di tangan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi malam tadi, kekalahan kedua Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Penyerang Nguyen Quang Hai muncul sebagai wira pasukan Naga Emas selepas menjaringkan hantaran jauh dari Que Ngoc Hai pada minit ke-40 perlawanan, lapor Bernama.

Keputusan malam tadi menyaksikan kedudukan Malaysia dalam Kumpulan G jatuh ke tangga keempat manakala Vietnam naik ke tangga dua, berkongsi empat mata dengan pendahulu, Thailand.