Islam moderat Tunisia kuasai pilihan raya, tapi hanya 52 kerusi

Suruhanjaya pilihan raya Tunisia mengumumkan keputusan awal pilihan raya parlimen di Tunis pada 9 Okt. (Gambar Reuters)

TUNIS: Ennahda Islam yang moderat muncul parti terbanyak kerusi dalam pilihan raya umum Tunisia, dengan keputusan rasmi diumumkan semalam menunjukkan ia memperoleh 52 dari 217 kawasan dipertandingkan.

Parti itu kemungkinan akan membentuk kerajaan gabungan.

Perkembangan ini, bersama keputusan pusingan pertama pemilihan presiden dilangsungkan berasingan bulan lalu, menunjukkan rasa tidak puas hati pengundi ke atas parti-parti utama.

Ennahda yang muncul parti terbanyak kerusi mempunyai lebih 17 kerusi berbanding pilihan raya 2014, ketika ia menduduki tempat kedua dalam ikatan sekular yang runtuh kemudian.

Ennahda merupakan anggota gabungan beberapa kerajaan yang memerintah sejak revolusi Tunisia 2011, yang gagal meningkatkan taraf hidup atau perkhidmatan awam di negara demokrasi muda itu.

Sebarang kebuntuan politik akibat parlimen goyah akan merumitkan usaha Tunisia menangani masalah ekonomi yang kronik, termasuk hutang awam besar dan pengangguran pula di paras 15%.

Parti diketuai tokoh media Nabil Karoui, Heart of Tunisia berada di tempat kedua, dengan 38 kerusi sementara Tayyar menguasai 22 kerusi dan Karama pula 21. Empat parti lain masing-masing mendapat antara empat dan 17 kerusi.

Keputusan itu diumumkan menerusi televisyen oleh suruhanjaya pilihan raya masih tertakluk kepada rayuan. Ia selari dengan tinjauan pengundian keluar dikeluarkan pada Ahad lalu, menunjukkan Ennahda di tangga teratas dan disusuli oleh Heart of Tunisia.

Karoui, dibebaskan dari tahanan sebelum perbicaraan kes rasuah semalam, merupakan calon pemilihan presiden, di mana dia menghadapi Kais Saied, yang disokong Ennahda.