Kadir pertahan wahyu lampau Putrajaya era Pak Lah punca Utusan jatuh

Kadir Jasin mempertahankan kejatuhan selepas 2003 hingga kekalahan BN tahun lalu, berpunca daripada campur tangan melampau Putrajaya era Pak Lah.

PETALING JAYA: Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, A Kadir Jasin mengulangi pendiriannya nasib melanda Utusan Melayu dan beberapa akhbar arus perdana berpunca daripada campur tangan dan “wahyu” melampau Putrajaya era Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam ulasan kepada pandangan bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, beliau berkata jika kejatuhan pengedaran yang terhad pada 1998 berpunca daripada kes spesifik, kejatuhan selepas 2003 hingga kekalahan BN tahun lalu, berpunca daripada campur tangan melampau daripada Putrajaya.

Kata Kadir beliau tidak menafikan pengedaran sesetengah akhbar berkaitan Umno jatuh ketika krisis politik dan ekonomi 1997/98.

“Itulah juga antara sebab musabab saya memilih meletakkan jawatan ketua pengarang Kumpulan NSTP pada 2000.

“Tetapi pengedaran pada amnya terus meningkat sehingga kepada tempoh peralihan daripada Dr Mahathir kepada Abdullah Ahmad Badawi pada Nov 2003 dan diikuti oleh kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRU 2004,” kata beliau.

Malangnya kata beliau, sebaik saja selepas kemenangan besar 2004, pentadbiran “Mr Clean” dilarikan oleh budak-budak tingkat empat.

“YB Khairy yang saya kagumi kepintarannya menjadi menantu Pak Lah selepas itu.

“Sejarah menunjukkan bulan madu dengan Pak Lah singkat. Dalam PRU 2008, populariti beliau dan BN merudum. Hilang majoriti tiga perempat dan terlepas lima negeri.

“Walaupun disokong oleh Dr Mahathir, prestasi Najib Abdul Razak dalam PRU 2013 lagi teruk daripada PRU 2008,” kata beliau.

Semalam, Khairy membidas dakwaan Kadir kejatuhan Utusan Malaysia berpunca daripada tindakan “budak-budak tingkat 4” semasa pentadbiran Abdullah dan Najib.

Ahli Parlimen Rembau itu yang pernah mengetuai pasukan penasihat Abdullah menegaskan, kemerosotan media arus perdana pula bermula selepas liputan berat dibuat dalam kes liwat pertama, melibatkan Anwar Ibrahim, ketika itu timbalan perdana menteri, pada 1999.

“Kemerosotan media arus perdana bermula dengan liputan berat sebelah kes liwat pertama. Seseorang bernama A Kadir adalah editor NST ketika itu,” kata beliau.

Kadir dalam blognya menulis, Abdullah dan penasihat Najib Razak mencampuri secara berlebihan dalam media arus perdana. Sehingga membawa kepada persepsi buruk terhadap media arus perdana.

Menurut Kadir, antara kesilapan terbesar kumpulan “budak-budak tingkat empat” adalah menggunakan media massa untuk mematikan legasi Mahathir dan menonjolkan Abdullah.

“Campur tangan berlebihan dan tidak profesional menyebabkan pembaca menghidu bahawa akhbar, televisyen dan radio milik syarikat-syarikat berkaitan Umno tidak lagi berkecuali dan kurang kredibiliti.

“Itulah permulaan kepada kemerosotan mutu kewartawanan dan kemerosotan penjualan akhbar Kumpulan Utusan dan NSTP,” kata Kadir.

Dalam ulasannya hari ini, Kadir juga berkata sampai he hari ini beliau terus yakin kalau Umno terus berkuasa, calon perdana menteri yang paling “viable” adalah Khairy.

“Malangnya Umno tidak berkuasa lagi dan Khairy mungkin tidak boleh diterima sebagai calon PM gabungan Umno-Pas kerana dia terlalu moden dan tidak dilihat sebagai cukup Melayu.

“Kecuali Khairy lebih menonjol dan mengukuhkan kedudukannya, beliau mungkin berakhir sebagai ‘wasted talent,” kata beliau.