Liga Arab mesyuarat tergempar bincang serangan Turki di Syria

CAIRO: Liga Arab akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Sabtu atas permintaan Mesir bagi membincangkan serangan Turki di Syria, katanya dalam kenyataan.

Kementerian Luar Negeri Mesir dalam kenyataan semalam “mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan Turki di wilayah Syria”, mengatakan serangan itu merupakan “serangan terang-terangan dan tidak boleh diterima terhadap kedaulatan negara Arab”.

Turki melancarkan operasi ketenteraan terhadap militan Kurdi di timur laut Syria semalam beberapa hari selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari kawasan itu.

Presiden Turki Tayyip Erdogan berkata matlamat operasi itu adalah menghapuskan apa yang dikatakannya “koridor pengganas” di sempadan selatan Turki, tetapi negara-negara Eropah menyeru Ankara menghentikan operasi itu.

Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi membincangkan serangan Turki dengan rakan sejawatnya dari Iraq, Barham Salih menerusi telefon semalam, kata jurucakap Presiden Mesir Bassam Rady.

“Serangan Turki…merupakan satu perkembangan yang berbahaya yang mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa dan memburukkan lagi keadaan krisis di rantau itu,” kata Rady.

Turki bersiap sedia untuk memasuki timur laut Syria sejak tentera AS, yang melawan IS bersama pasukan dipimpin Kurdi, mula meninggalkan kawasan itu selepas Presiden AS Donald Trump mengubah dasar AS secara mendadak.

Kementerian Luar Negeri Mesir dalam kenyataan memberi amaran tentang “akibat-akibat langkah Turki terhadap perpaduan dan integriti wilayah Syria.”

Liga Arab, yang dianggotai 22 negara termasuk Mesir, Iraq dan Arab Saudi, dalam kenyataan semalam berkata mesyuarat Sabtu ini akan diadakan di peringkat menteri “bagi membincangkan pencerobohan Turki” ke atas wilayah Syria.

“Ia merupakan serangan yang tidak boleh diterima terhadap kedaulatan sebuah negara Arab yang menjadi anggota liga,” kata Penolong Setiausaha Agung Hossam Zaki.