Masuk PAS kalau suka Nik Aziz, wakil rakyat pelawa Rayer

KUALA LUMPUR: Seorang wakil rakyat PAS mempelawa RSN Rayer (PH-Jelutong) menyertai partinya kalau beliau betul-betul meminati bekas mursyidul am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) berkata beliau sering kali mendengar Rayer mengaku peminat Nik Aziz.

“Masuk PAS kalau suka Nik Aziz,” katanya kertika mencelah Rayer yang membahaskan Rang Undang-undang Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional di Dewan Rakyat hari ini, selepas wakil rakyat DAP itu berkata Nik Aziz berpesan jangan berkawan dengan Umno.

“Saya berpegang betul nasihat Tok Guru iaitu jangan sampai mati pun berkawan dengan Umno. Kalau ada maruah jangan kawan dengannya. Umno seperti ular yang akan mematuk dua kali,” kata Rayer.

Che Abdullah turut mengingatkan Rayer supaya mengambil cara hidup dan nasihat Nik Aziz secara keseluruhan.

Timbalan Speaker Nga Kor Ming kemudian mengingatkan ahli politik itu bahawa sesi Dewan Rakyat adalah perbahasan undang-undang dan bukannya perbahasan agama.

“Ini adalah perbahasan undang undang bukan perbahasan agama dan dakwah,” katanya.