Media tradisional makin kubur, kata NUJ ekoran nasib Utusan Melayu

Utusan Melayu yang ditubuhkan 80 tahun lalu henti operasi mulai semalam.

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) bimbang penutupan Utusan Melayu, syarikat akhbar berusia 80 tahun semalam, menandakan industri media cetak negara berhadapan dengan cabaran genting untuk bersaing dalam landskap berita semasa.

Setiausaha Agung NUJ, Chin Sung Chew berkata penutupan syarikat media itu menjadi pengajaran kepada industri media, dan menambah media tradisional mula lenyap di bawah peredaran masa.

“NUJ bimbang masalah serupa akan jadi di media lain (syarikat).

“Kami menggesa ahli bertenang di zaman sukar ini dan kami akan terus memainkan peranan sebagai pemantau kerajaan,” katanya.

Semalam diumumkan Utusan Melayu yang menerbitkan Utusan Malaysia dan Kosmo! akan menghentikan penerbitannya, menyebabkan 862 kakitangan hilang kerja.

Chin berkata isu begitu ramai pekerja hilang pekerjaan dalam semalaman tidak boleh dipandang ringan, dan NUJ akan menawarkab bantuan kepada ahli-ahli kesatuan.

“NUJ komited membantu ahli mendapatkan hak untuk menerima pampasan disebabkan oleh pemberhentian oleh lembaga pengarah syarikat.”

Utusan adalah akhbar harian berbahasa Melayu paling tua pada masa sekarang, bermula di Singapura sebagai akhbar bertulisan Jawi pada 1939, dan menggajikan 2,000 kakitangan di kemuncaknya, termasuk 500 kakitangan editorial.

Akhbar itu dikritik kerana liputan ke atas pemimpin pembangkang semasa pentadbiran Barisan Nasional dan mengumumkan beberapa langkah penstrukturan susulan perubahan kerajaan pada Mei 2018.