Menteri Indonesia cedera ditikam gunting

Wiranto (dua dari kiri) cedera ditikam sejurus keluar dari keretanya untuk menghadiri satu majlis di Banten pagi tadi.

JAKARTA: Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, Wiranto cedera ditikam sejurus keluar dari keretanya untuk menghadiri satu majlis di Banten.

Ahli politik berusia 72 tahun itu tiba di sebuah majlis di Alun-alun Menes, Kecamatan Pandeglang, untuk menghadiri satu lagi majlis bersama penduduk hari ini.

Sejurus keluar dari keretanya, seorang lelaki menyerang dan menikam perut Wiranto menggunakan gunting, dalam kejadian 11.50 pagi waktu Indonesia Barat.

Polis Indonesia dalam satu kenyataan berkata, dua suspek yang dikenali sebagai Syahril Alamsyah, 31, dan Fitri Andriana Sunarto, 21, ditahan dalam kejadian itu.

Selain Wiranto, seorang anggota polis dan orang awam turut cedera terkena tikaman gunting lelaki itu.

Wiranto dikejarkan ke sebuah klinik di Pandeglang untuk rawatan awal, sebelum dipindahkan ke Rumah Sakit Umum Daerah Pandeglang untuk rawatan lanjut.