Nasib Utusan Melayu: Siapa bersalah

Utusan Melayu menutup operasi semalam selepas ‘dilahirkan’ 80 tahun lalu.

Entah tak tau nak gambarkan perasaan apa yang patut diluahkan. Marah, geram, kecewa, dikhianati malah lucu pun ada.

Tapi yang pasti perasaan sedih begitu mencengkam menyelubungi perasaan warga kerja Utusan Melayu Malaysia Berhad yang secara mengejut menjadi penganggur tanpa sebarang notis awal.

Memang ramai yang sudah bergosip lebih sejak beberapa bulan lalu bahawa akan ada dalam kalangan warga Utusan Melayu bakal hilang kerja akibat tuntutan keadaan syarikat itu yang tenat sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas pada pilihan raya umum lalu.

Pada awalnya gosip berkenaan mengatakan walau apapun berlaku jika terpaksa mengundur diri demi memberi laluan kepada syarikat itu untuk memulih dan ‘rejuvenate’ demi masa depan syarikat akhbar Melayu tertua di negara ini, sekurang-kurangnya mereka akan diberi pampasan yang meyakinkan.

Namun akhirnya gaji mereka pula tertunggak beberapa bulan. Warganya semakin resah.

Ada yang merasa diri ditipu ada yang melihat Utusan Melayu semakin suram dan tidak ada masa depan.

Namun keresahan mereka berakhir apabila gaji mereka dibayar pada awal bulan lalu dan muka sudah ada senyum.

Tetapi malangnya disangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari.

Berita penerimaan gaji dua bulan tertunggak itu rupanya diiringi kisah sedih hayat Utusan Melayu berakhir semalam.

Memang marah dan geram kenapa perkara ini boleh berlaku, namun hakikatnya jika kita melihat lebih mendalam, kebobrokan di Utusan Melayu ini sebenarnya sudah lama berlaku.
Dan ia semakin melarat apabila parti yang menunjangi akhbar itu sekian lama kalah pada pilihan raya lalu.

Noktah batu nesan

Lebih malang lagi akhirnya ia terpaksa menoktahkan batu nesannya kerana hilang punca pendapatan dan gagal menjual aset demi membayar hutang yang semakin memboyot.

Namun pandangan peribadi saya, Pengerusi Eksekutifnya Aziz Syeikh Fadzir bukanlah orang yang patut disalahkan. Beliau masuk ke Utusan Melayu pada ketika hayatnya sudah nazak dan tenat.

Hanya orang yang hilang akal sahaja sanggup menerima pelawaan menduduki kerusi panas itu pada ketika kapal sudah hampir tenggelam.

Kegagalan beliau menguruskan syarikat itu dan menjual aset syarikat tidak boleh dipersalahkan 100% pada beliau. Beliau orang baru dan bukan faham tentang bisnes media.

Oleh itu sudah tentu golongan bijak pandai editor kanan dalam Utusan Melayu yang menjadi penasihat kepada beliau gagal membantu dalam bagaimana mahu memulihkan perniagaan dan menaikkan kembali jenama dan produk Utusan Melayu.

Kegagalan untuk berubah dan mengikut arus dan kehendak masyarakat yang gigih menerobos media baharu antara punca kenapa mereka gagal membawa haluan syarikat itu ke arah lebih baik.

Paling tepat kegagalan berubah meladeni perubahan di sosial media mempercepatkan lagi jangka hayat akhbar yang banyak berjasa kepada orang Melayu itu.

Masih bersikap jumud dengan pemberitaan yang retorik dengan menyiarkan berita tengah hari semalam di muka hadapan akhbarnya yang disiarkan esok adalah sesuatu yang menjengkelkan orang yang mahu membeli produk akhbarnya.

Sedangkan di media sosial baik portal-portal, Facebook mahupun Twitter atau Instagram peribadi orang ramai sudah berkongsi memviralkan berita teraebut semalam yang sudah tentu basi keesokannya.

Jadi berita penutupan Utusan Melayu itu sepatutnya sudah boleh dijangka sebenarnya kerana hakikatnya tidak ada apa yang berubah.

Orang yang sama menerajui akhbar itu sejak 10 tahun lalu masih merasa diri gagah sehingga kini walaupun sudah mati, malah dikatakan orang sama juga bakal mengetuainta apabila ia bakal diwujudkan kembali.

Itu sebabnya penulis katakan perasaan lucu di peringkat awal kerana hakikatnya tidak apa apa yang berubah. Menyalahkan Aziz Sheikh Fadzir hanyalah sebagai ‘scapegot’ dan bukan jalan penyelesaian.

Jika nak berubah selepas ini biarlah ikhlas dan jujur demi pembaca yang masih setia menatap akhbar itu.

Berubahlah kerana industri media itu hakikatnya sudah jauh berubah dan kini semuanya hanya di hujung jari.

Jika masih dengan cara lama seolah akhbar itu raja maka ia umpama menggali kubur sendiri.

Awang Bungsu adalah pemerhati media dan politik tanah air.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT