PAS harap Putrajaya bayar royalti minyak kepada Kelantan dalam Bajet 2020

KUALA LUMPUR: Pemimpin PAS berharap kerajaan Pakatan Harapan akan menunaikan janji membayar royalti minyak kepada Kelantan menerusi Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan, esok.

“Sehingga kini, kerajaan negeri belum terima (royalti minyak itu)…kita harap dalam bajet ini dapat ditunaikan,” kata Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) di lobi Parlimen hari ini.

Beliau yang juga timbalan presiden PAS berkata, kerajaan pusat tiada lagi alasan tidak membayar royalti minyak kerana kerajaan Kelantan sudah menunaikan semua tuntutan Putrajaya, termasuk menarik balik saman yang difailkan terhadap kerajaan pusat di mahkamah.

“Hari itu dia (kerajaan) beritahu alasan mahkamah. Kami dah tunaikan semua permintaan kerajaan pusat,” katanya merujuk pemfailan notis tidak menyambung saman terhadap kerajaan pusat di mahkamah.

Pada 28 Jun lalu, kerajaan Kelantan dilaporkan menarik balik saman terhadap kerajaan pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung tuntutan royalti minyak yang difailkan pada 2010.

Hakim Mahkamah Tinggi, Ahmad Bache membatalkan saman itu tanpa kebebasan untuk memfailkan saman baru dan atas persetujuan kedua-dua pihak. Beliau juga tidak membuat perintah terhadap kos.

Tindakan itu menyusul langkah kerajaan Kelantan menarik balik saman sama terhadap Petronas yang dinamakan sebagai defendan pertama melalui notis pemberhentian saman yang difailkan pada 13 Mei lalu.

Mac lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, kerajaan pusat akan membayar royalti minyak kepada Kelantan selepas kerajaan negeri itu menarik balik saman terhadap Putrajaya.

Hari ini, Tuan Ibrahim yang juga timbalan presiden PAS menaruh harapan tinggi untuk kerajaan menetapkan hala tuju lebih jelas untuk kelangsungan kewangan negara dalam pembentangan Belanjawan 2020, esok.

“Terutamanya bahagian untuk meningkatkan hasil (pendapatan negara).”