Pekerja berusia beri anda kelebihan, majikan diberitahu

Malaysia dijangka mencapai status masyarakat menua pada 2030.

PETALING JAYA: Jangan abaikan mereka yang melepasi umur persaraan jika syarikat anda memerlukan pekerja, tetapi tidak bersedia menghabiskan masa dan wang melatih mereka.

Demikian nasihat pakar pekerjaan pascapersaraan, Jasmin Amirul Ghani.

“Majikan kerap terlupa bahawa seorang pesara mempunyai pengalaman 30 hingga 40 tahun,” kata beliau kepada FMT. “Anda tak perlu latih mereka. Sebaliknya mereka boleh terus bekerja.”

Katanya, syarikat beliau mendapati ramai pesara bersedia bekerja dan boleh bermula serta-merta.

Beliau berkata, antara kelebihan mengambil pekerja lebih berusia ialah mereka mempunyai hubungan dan rangkaian dengan industri yang spesifik.

Selain itu, ramai bersedia bekerja dengan gaji lebih rendah daripada jumlah yang biasa mereka terima sebelum ini kerana bebas daripada tekanan pekerjaan yang tinggi.

Jasmin Amirul Ghani.

Beliau berkata, majikan juga boleh menimbangkan untuk mengambil pesara bagi kerja bermusim atau untuk menangani keperluan mendesak.

“Kadang-kadang anda mungkin memerlukan pekerja untuk masa puncak atau menggantikan pekerja yang cuti bersalin misalnya. Pesara yang diambil bekerja untuk tugas malam boleh bermula serta-merta.”

Katanya, banyak majikan perlu mengubah cara berfikir mereka supaya dapat melihat kelebihan menggaji pekerja berusia kerana ia perlu berikutan bertambahnya bilangan golongan itu dalam dekad akan datang.

“Anda mahu golongan itu mampu menampung hidup sendiri dan menyumbang kepada ekonomi,” katanya.

Jasmin berkata, syarikatnya kini bekerja dengan Kementerian Sumber Manusia dalam meneliti kebimbangan majikan tentang kemungkinan menggaji pekerja berusia. Setakat ini kira-kira 600 responden dikutip respons mereka.

Katanya, survei itu mendapati bahagian sumber manusia syarikat lebih terbuka untuk menggaji pesara berbanding bahagian perniagaan dan pengurusan.

Kakitangan bahagian sumber manusia lebih cenderung untuk menyokong idea seperti tempat kerja yang majmuk dan inklusif, tambah beliau.

“Yang gagal dilihat ialah kemahiran dan pengalaman mereka, dan kesediaan mereka untuk belajar,” katanya.

Komposisi penduduk berumur 60 tahun ke atas meningkat daripada 10% penduduk pada 2018, kepada 10.3% tahun ini.

Mengikut Dasar Warga Emas Negara, Malaysia ditakrifkan sebagai masyarakat menua apabila komposisi itu mencecah angka 15% penduduk.

Malaysia dijangka mencapai tahap masyarakat menua pada 2030.