Pendakwa raya 1MDB sedia prosiding hina mahkamah terhadap Lokman

Lokman Noor Adam.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB akan memulakan prosiding terhadap ahli majlis tertinggi Umno Lokman Noor Adam kerana menghina mahkamah kerana mengancam bekas pegawai khas Najib Razak, Amhari Efendi Nazaruddin.

Sumber berkata permohonan memohon kebenaran untuk memulakan tindakan terhadap Lokman akan dibuat di Mahkamah Tinggi minggu depan.

“Beliau sudah menjawab surat tunjuk sebab tetapi jawapannya tidak memuaskan,” kata sumber kepada FMT.

Lokman dikatakan membuat laporan polis terhadap Amhari, meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mendakwa saksi itu kerana menerima wang daripada ahli perniagaan yang dikehendaki, Low Taek Jho.

Beliau juga membidas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya kerana tidak bertindak, dan memuatnaik video mengulangi dakwaan dalam laporannya.

Sumber berkata nada dan perilaku Lokman dalam video itu ada unsur angkuh.

Pada 1 Okt, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa Kunyalam, sebahagian daripada pihak pendakwaaan, menandatangani surat tunjuk sebab itu dan memberikan tempoh 7 hari kepada Lokman untuk menjawabnya.

Najib berdepan 25 tuduhan pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa berhubung dana yang didakwa daripada 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan yang hari ini masuk hari ke-20 dibicarakan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.