Pesara tentera guna tayar jadikan hiasan rumah

Sesetengah masyarakat mempunyai kekreatifan tersendiri dalam membuat rekaan tertentu dengan menggunakan bahan terpakai.

Ia termasuklah tayar yang kebanyakan daripada mereka terus buang jika tidak lagi digunakan.

Namun tidak pada seorang pesara tentera ini, Zazali Ibrahim, 57 tahun apabila beliau menggunakan tayar dengan mengubah suai bahan tersebut agar lebih cantik dan menarik.

Ia merupakan hobi bagi mengisi masa lapangnya dengan membuat rekaan seperti angsa, burung merak, bangau, abstrak yang dijadikan bekas bunga dan beberapa set sofa diperbuat daripada tayar.

Menurutnya, beliau menggunakan segala kepakaran menerusi latihan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) semasa di bangku sekolah dan mengembangkan minat seiring peningkatan usia.

“Pada usia 12 tahun saya sudah berminat dalam kerja pertukangan dan membuat ukiran. Disebabkan itu saya menyertai latihan dianjurkan Kemas untuk masyarakat desa biarpun masih bersekolah rendah,” tambahnya.

Katanya lagi, kemahiran dipelajari sehingga tamat sekolah menengah kerana ingin menimba ilmu dalam bidang pertukangan.

“Minat saya itu terpaksa dihentikan sementara apabila saya menyertai bidang ketenteraan, tetapi minat tersebut tidak pernah padam dan ia disambung kembali sebaik sahaja saya bersara,” katanya lagi.

Tayar terpakai dijadikan fokus utama kerana pembuatan kitar semula mendapati ia merupakan bahan yang mudah didapati.

“Kebanyakan tayar terpakai ini saya beli di kedai tayar pada harga berpatutan. Sifat tayar pada tahan terhadap pelbagai suhu dan cuaca amat sesuai dijadikan hiasan kitar semula terutama di kawasan terbuka.

“Lazimnya tayar terpakai digunakan untuk hiasan di taman, tetapi saya menonjolkan kreativiti dengan mereka cipta pelbagai produk hiasan unik seperti kerusi pelamin,” katanya.

Projek terbarunya setakat ini ialah menjadikan tayar tersebut berbentuk dinasour setinggi dua meter.

“Pada mulanya tayar terpakai ini dihasilkan untuk menghiasi laman rumah dan perabot sehingga ia meraih perhatian jiran tetangga yang melalui di hadapan rumah.

“Biarpun tidak sukar mengubah tayar terpakai menjadi bahan dekorasi yang melestari landskap laman, peralatan sesuai turut memainkan peranan kerana material tayar lama ini diperbuat dairipada bahan lasak dan memerlukan banyak tenaga.”

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]