Putrajaya kaji tawaran ambil alih PLUS bukan untuk lindungi pemimpin tertentu

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad berkata, Putrajaya perlu mengkaji dengan teliti tawaran pengambilalihan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) untuk memastikan wang kerajaan digunakan dengan bijak, bukannya kerana ia mahu melindungi kerajaan atau pemimpin tertentu.

Katanya, kerajaan menerima banyak cadangan dan sedia mempertimbangkan tawaran sektor swasta untuk mengambil alih PLUS.

“Ada banyak cadangan ambil alih PLUS, tetapi kami perlu menilai. Kita perlu memastikan wang kerajaan digunakan dengan bijak, bukan hanya kerana kami mahu melindungi kerajaan atau pemimpin tertentu.

“Ia perlu dinilai dengan baik, jika ada tawaran sektor swasta yang baik, kami akan pertimbangkan,” katanya selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Produk Teknologi Hijau dan Eko di sini hari ini.

Terdahulu, Widad Business Group dilapor menawarkan RM3 bilion untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan Khazanah Nasional Bhd dalam PLUS.

Ia turut bercadang mengurangkan kadar tol semasa sebanyak 25 hingga 40 peratus, diskaun 50 peratus pada musim perayaan dan jaminan tiada pemberhentian pekerja dalam tempoh lima tahun, jika ia berjaya mengambil alih PLUS.

Sebuah firma pelaburan milik rakyat Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong, RRJ Capital Ltd, menaikkan harga tawaran pengambilalihan PLUS kepada RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion dan pengurangan tol sebanyak 20 peratus.

Maju Holdings Sdn Bhd turut dilaporkan memperbaharui cadangan pengambilalihan PLUS dengan menawarkan pengurangan tol daripada 25 peratus kepada 36 peratus dan menyerap pampasan tol RM2.7 bilion.

Pada 5 Okt lalu, pemegang saham utama PLUS, Khazanah Nasional Bhd menegaskan ia tidak berminat menjual aset strategik itu kepada mana-mana pihak.

Projek tenaga boleh diperbaharui

Mahathir menolak pembida projek tenaga boleh diperbaharui mempunyai kaitan dengannya dan berkata, kontrak itu hanya akan diberikan kepada pihak yang layak.

“Kontrak akan diberikan kepada mereka yang mempunyai cadangan yang berdaya maju.

“Tidak pernah berlaku (beri kepada kroni), tetapi selalu kita berikan kepada mereka dikatakan kroni.”

Beliau berkata, jika projek itu tidak diberikan kepada mana-mana pihak, negara tidak boleh mencapai sebarang kemajuan.

Katanya, kerajaan akan membantu sebanyak mungkin.

“Tetapi, kini jumlah sokongan daripada kerajaan tidak sebesar sebelum ini. Jika mereka beri cadangan yang bagus, kami akan sokong,” katanya.