RUU Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional lulus

PETALING JAYA: Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional selepas dibahaskan lebih empat jam oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.

Speaker Mohamad Ariff Yusof berkata, RUU berkenaan diluluskan sebulat suara.

“Fasal 1 hingga 25 jadi sebahagian dari undang-undang. Jadual jadi sebahagian dari RUU. RUU ini dimaklumkan kepada majlis, lebih suara bersetuju,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada sesi penggulungan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata wang yang keluar dari negara secara tidak sah akan dapat dikembalikan melalui penubuhan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Menjawab soalan mengenai istilah mata wang digital yang dikatakan tidak dinyatakan secara khusus, Liew berkata RUU itu akan terpakai pada kesalahan yang disenaraikan sebaai jenayah kewangan, seperti dalam jadual undang-undang itu.

“Kesalahan yang disenaraikan dalam jadual adalah sebagaimana yang disenaraikan dalam Jadual Kedua kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

NFCC merupakan inisiatif bawah Pelan Anti-Rasuah Kebangsaan 2019-2023, untuk menjalankan operasi bersepadu memerangi dan mencegah jenayah kewangan domestik dan antarabangsa dan mengekang ketirisan.

Ia akan menyelaraskan sekurang-kurangnya 12 agensi penguatkuasaan termasuk polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kastam dan Bank Negara.

NFCC juga akan menguruskan data berpusat yang mengandungi maklumat berhubung jenayah kewangan, bagi merancang dan menyelaras operasinya.

Sebelum diluluskan, Shahidan Kassim (Arau-BN) meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong mempertimbangkan permohonannya terhadap Perkara 5 RUU berkenaan, supaya tidak memberikan kuasa melantik anggota tertinggi NFCC kepada perdana menteri, sebaliknya kepada Parlimen.

“Saya ambil maklum dan akan mempertimbangkan cadangan yang dibuat oleh Arau,” jawab Liew.

Menurut buku RUU berkenaan, NFCC akan diketuai seorang ketua pengarah dan dibantu seorang timbalan. Satu lembaga penasihat akan ditubuhkan yang terdiri daripada seorang pengerusi, ketua pengarah dan anggota-anggota yang tidak melebih lima orang.

Mereka itu dilantik oleh Agong atas nasihat perdana menteri.