Silakan jika mahu tahan saya, Ramasamy beritahu polis

P Ramasamy berkata, beliau tidak pernah menyokong pertumpahan darah, sebaliknya mencadangkan penyelesaian secara damai ketika menjadi perunding damai bagi Aceh, Colombia, Mindanao dan Sri Lanka.

GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy masih mampu bertenang, walaupun tersebar khabar angin beliau mungkin ditahan polis kerana didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan pemisah di Sri Lanka, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang sudah terkubur.

“Jadi, saya dengar saya akan ditahan. Jika mereka mahu, silakan. Saya bukan pelarian yang meminta suaka di negara ini,” katanya sambil ketawa ketika ditemui FMT di pejabatnya hari ini.

Beliau percaya penahanan dua Adun DAP di Negeri Sembilan dan Melaka pagi tadi mungkin dibuat atas desakan penyokong penceramah dari India, Dr Zakir Naik.

Ramasamy mendakwa Naik dan “pengikutnya” berusaha habis-habisan untuk merosakkan namanya dengan menggelarnya pengganas dan menggunakan semula gambar lamanya menyertai misi damai ke Sri Lanka 10 tahun lalu.

“Ini kerana saya berpendirian tegas mengenai pengusiran Naik. Sesetengah kumpulan tidak senang dan mereka cerita untuk memburuk-burukkan saya serta orang lain yang bersimpati dengan perjuangan masyarakat Tamil di Sri Lanka.”

Beliau berkata, LTTE terkubur sejak 2009 dan kerajaan Malaysia tahu mengenai status itu.

Katanya, apa yang masih wujud ialah rasa simpati terhadap pertumpahan darah membabitkan orang Tamil di Sri Lanka disebabkan penindasan di sana.

“Sekarang beritahu saya, saya menyokong perjuangan warga Palestin, malah Hamas yang dianggap kumpulan pengganas di negara Barat. Jadi adakah saya simpati dengan pengganas sekarang?

“Jangan kita lupa, kerajaan kita juga bersimpati dengan Hamas sehingga tahap mengadakan sidang Parlimen untuk menyokong perjuangan Hamas.

“Kenapa wujud tristandard sedangkan anda boleh sokong PLO, kumpulan Rohingya Islam, tetapi apabila berkaitan perjuangan Tamil, ia adalah haram?

“Biar saya beritahu anda, perjuangan kami ialah untuk orang Tamil dan tiada kaitan dengan LTTE. Perjuangan kami lebih besar daripada LTTE. Tiada LTTE di Malaysia.”

Ramasamy berkata, beliau sudah memberi dua keterangan berbeza kepada polis berhubung dakwaan hubungannya dengan LTTE tahun lalu, selepas hampir 100 laporan polis diterima berhubung perkara itu.

Katanya, sebagai orang India Malaysia yang berketurunan Tamil, beliau dan berjuta orang Tamil di seluruh dunia simpati dengan orang Tamil di Sri Lanka yang ditindas selama bertahun-tahun.

‘Perunding damai’

Ramasamy berkata, sebagai perunding damai bagi Aceh, Colombia, Mindanao dan Sri Lanka, beliau tidak pernah menyokong pertumpahan darah, sebaliknya mencadangkan penyelesaian secara damai.

“Rundingan adalah kuncinya. Kami menemui LTTE dan kerajaan Sri Lanka. Saya perlu biasa dengan kedua-dua pihak untuk memahami situasinya.

“Kini, kenapa perjuangan adil dilihat dari aspek keganasan? Saya tidak pernah menyokong perjuangan sebarang sayap. Saya sentiasa menyokong penyelesaian politik. Ini yang saya beritahu Tamil Tiger dan Gerakan Aceh Merdeka.”

Beliau turut menyentuh gambar beliau memberi penghormatan kepada selaras senapang AK-47 yang dianggap ramai sebagai sokongan kepada LTTE.

“Ia adalah peringatan peperangan bagi 100,000 saudara Tamil yang terkorban di Sri Lanka. Kenapa kita tidak boleh menitis air mata untuk menghormati si mati?

“Di Malaysia, umat Islam boleh bersimpati kepada mereka yang terbunuh dalam perang. Kenapa bersikap dwistandard apabila kita memperingati orang Tamil?”

Ramasamy berkata, penahanan terbaru tujuh individu, termasuk dua Adun DAP di Negeri Sembilan dan Melaka, amat dikesali dan mereka perlu dibebaskan segera.

Katanya, penahanan itu bertentangan janji Pakatan Harapan untuk tidak menggunakan undang-undang drakonian.

“Penggunaan undang-undang anti-keganasan ke atas orang tidak bersalah mengecewakan kerana PH sudah berjanji akan menghapuskan undang-undang drakonian.

“Ini khasnya selepas bertahun-tahun menyokong PH, Dr Mahathir Mohamad dan melawan BN. Hari ini, senjata itu digunakan terhadap kami.

“Saya meminta kerajaan segera membebaskan semua yang ditahan tanpa syarat. Tiada bukti terhadap mereka dan ia memalukan kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan di luar sana.