Skuad anti-pengganas layan bapa dengan hormat, kata anak

Adun P Gunasekaran (kiri) dan G Saminathan disiasat atas dakwaan kaitan dengan LTTE. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Anak perempuan kepada Adun Seremban Jaya P Gunasekaran menceritakan bagaimana skuad anti-pengganas menyerbu rumah mereka di Seremban dan menangkap bapanya hari ini.

Dia yang tidak mahu dinamakan memberitahu FMT, sekumpulan 20 anggota polis dengan kelengkapan taktikal dan topeng berada di luar rumah mereka di Kg Baru Rahang, Seremban kira-kira 9.30 pagi.

Katanya, pasukan itu memecah masuk pintu depan, dan kemudian terus ke satu bilik yang disangkakan bilik wakil rakyat itu tetapi sebenarnya bilik anak perempuannya.

“Mereka minta adik saya rapatkan tangan. Kemudian bapa saya muncul. Polis nampak dia bertenang dan mereka pun bertenang.

“Mereka yang datang untuk membuat tangkapan itu baik-baik orangnya. Mereka layan bapa saya dengan hormat.”

Selepas bapanya berjanji akan bekerjasama, katanya polis menjadi tenang dan mula menggeledah rumahnya, merampas semua telefon bimbit dan barangan lain.

“Mereka tidak gari bapa saya. Mereka membawanya ke sebuah kereta dan terus memandu dengan laju,” katanya.

Polis kemudian pergi ke pusat khidmat Adun terbabit kerana dia perlu menandatangani beberapa cek dan kemudian dibawa ke Bukit Aman pada 12.30 tengah hari, katanya.

Gunasekaran, 60, juga adalah timbalan ketua DAP Negeri Sembilan. Dia antara tiga termasuk Exco Melaka G Saminathan yang ditangkap polis dalam tangkapan anti-terorisme.

Saminathan, yang juga Adun Gadek, dan seorang ketua NGO dari Perak ditangkap polis pagi tadi.

Sumber memberitahu polis sedang menyiasat kaitan mereka dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kumpulan pemisah yang terlibat dalam perang saudara di Sri Lanka.