SPRM nafi berat sebelah, sengaja gugur Mas Ermieyati daripada senarai penerima dana 1MDB

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, senarai nama dikemukakan sebelum ini adalah bagi individu yang menerima RM500,000 atau lebih daripada 1MDB.

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Kota menafikan dakwaan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Shahrir Samad bahawa suruhanjaya berkenaan sengaja menggugurkan nama Mas Ermieyati Sahmsuddin daripada senarai individu menerima dana 1MDB.

Latheefa beekata, senarai penuh kesemua mereka yang dikenakan tindakan kompaun masih belum muktamad.

Menurutnya, senarai nama yang dikemukakan sebelum ini adalah bagi individu yang menerima jumlah dana RM500,000 ke atas.

“Pendekatan SPRM adalah untuk memberi prioriti kepada jumlah-jumlah yang lebih besar. Kriterianya adalah jumlah wang terlibat dan bukan perkara lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Latheefa, SPRM akan mengambil tindakan secara rapi dan teratur untuk mengambil langkah mendapatkan semula wang 1MDB yang merupakan milik rakyat secara berperingkat tanpa memihak kepada sesiapa.

Sebelum ini, Shahrir Abdul Samad mendakwa Latheefa mengambil tindakan berat sebelah apabila mengugurkan nama Mas Ermieyati daripada senarai indvidvidu menerima dana 1MDB.

Shahrir berkata, pada Ogos 2015, tiga nama individu disebut dalam Sarawak Report, seperti beliau, Ahmad Maslan dan Mas Ermieyati, namun berdasarkan kenyataan Latheefa pada 6 Oktober lalu, nama Mas Ermieyati digugurkan.

“Umum mengetahui Mas Ermieyati pertama melompat keluar dari Umno dan masuk PPBM. Tetapi mengapa Latheefa gadaikan integriti kecualikan seorang individu yang dilaporkan Sarawak Report dikatakan menerima sumbangan politik daripada Najib,” katanya.

Shahrir berkata, adalah tidak wajar Latheefa mengadaikan integritinya dengan bertindak secara selektif terhadap pemimpin pembangkang yang mempunyai pendirian politik bersama Umno.

“Kini Latheefa juga sama-sama menggadaikan integritinya dengan bertindak secara selektif terhadap kami yang tetap berpendirian politik kami bersama Umno.

“Dalam Malaysia Baru, Malaysia bersih, yang berkuasa gunakan kuasa itu secara selektif terhadap mereka yang tetap dan teguh dalam prinsip politik,” katanya.

Mas Ermieyati merupakan ahli Parlimen Masjid Tanah, Melaka. Beliau, yang mewakili Umno, memenangi kerusi itu dalam pilihan raya umum Mei tahun lepas atas tiket Barisan Nasional (BN), tetapi bertindak keluar Umno dan menyertai PPBM pada Disember tahun lepas.

Bekas ketua Puteri Umno itu dilaporkan berkata, beliau bertindak keluar parti Melayu itu kerana ingin mencari penyelesaian lebih berkesan dalam membela pengundi di kawasan Parlimen yang diwakilinya.