Tak logik tahan Adun DAP kerana LTTE sudah terkubur, kata Santiago

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen DAP mempersoalkan tindakan polis menahan dua Adun parti itu kerana disyaki mempunyai hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sedangkan ia sudah terkubur dan tiada cubaan mengaktifkan kumpulan pemisah di Sri Lanka itu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyifatkan penahanan itu adalah pembaziran masa dan sumber polis kerana LTTE tiada cawangan di Malaysia.

Beliau juga bingung kerana dua Adun itu tidak berada di barisan depan perjuangan LTTE.

“Kenapa sekarang? Tidak ada percubaan untuk menghidupkannya semula di peringkat antarabangsa, jadi saya tidak pasti apa logiknya dan motif penangkapan mereka.

“Malah, di Sri Lanka sekalipun, ia tidak wujud lagi,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, FMT melaporkan Exco Melaka yang juga Adun Gadek, G Saminathan serta Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran ditahan polis bersama seorang pemimpin NGO India dari Perak pagi tadi kerana dipercayai ada hubungan dengan LTTE.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy dilaporkan berkata, tiga lelaki itu ditahan berhubung sambutan majlis “Hari Pahlawan” yang mereka hadiri tahun lalu.

Difahamkan, mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012.

Sementara itu, Santiago turut mempersoalkan kenapa ahli LTTE tidak dianggap “pejuang kebebasan” di Malaysia – sama seperti pejuang hak Palestin.

Katanya, perjuangan LTTE sama seperti warga Palestin yang menentang negara berkuasa membabitkan rampasan tanah dan penguasaan ekonomi.

“Di sana, kerajaan Israel menyasarkan warga Palestin. Di sini, kerajaan Sri Lanka menyasarkan orang Tamil.

“Itu saja perbezaannya, kalau tidak, realitinya adalah sama. Tetapi, disebabkan kita hidup di Malaysia dengan perbezaan kaum, semuanya datang daripada sudut perkauman.”

Katanya, Malaysia perlu memutuskan jika LTTE ialah gerakan bebas atau kumpulan pengganas.

“Mereka adalah pejuang kebebasan. ‘Pejuang kebebasan’ bermakna mereka mahu kedaulatan, autonomi wilayah dan mereka mahu menentukan masa depan orang mereka sendiri, sama seperti warga Palestin.”

LTTE yang diketuai V Prabhakaran melancarkan pemberontakan untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara Sri Lanka, apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat minoriti Tamil.

Kempen keganasan LTTE mendapat sokongan moral dan pembiayaan pelbagai pihak, termasuk diaspora Tamil yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di negara itu.

LTTE yang dilaporkan tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka, pernah disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan lebih 30 negara, termasuk Malaysia.