Tiada cadangan tetapkan harga syiling minyak, kata menteri

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail.

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menetapkan harga syiling minyak petrol,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, pertemuan pihaknya dengan syarikat minyak memberi gambaran bahawa harga minyak dunia akan berada pada paras antara AS$50-60 satu tong ketika pengenalan Program Subsidi Petrol (PSP) bermula Januari 2020 kelak.

“Ketika harga diapungkan nanti kalau kita benarkan lonjakan sehingga RM2.50, impaknya ekonominya sukar diperbetulkan. Jadi peningkatan itu adalah 1, 2 atau 3 sen dan sangat bergantung kepada momentum ketika Januari, iaitu keadaan harga minyak mentah dunia.

“Prinsip itu AS$50-60 satu tong kita sudah boleh buat ramalan. Selamat untuk mengatakan bahawa peningkatan itu adalah sangat minimum, agar ia tidak memberi kesan parah ke atas rakyat yang sukar diperbetulkan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) sama ada kerajaan akan menetapkan harga syiling sekiranya harga bahan bakar itu naik terlalu tinggi.

Katanya, prinsip harga itu masih tidak membebankan rakyat kerana mereka masih dapat menikmati subsidi kerajaan.

“Kalau kata naik 2 sen, bermaksud harga di pam RM 2.10, walhal harga ketika itu masih diberi subsidi 25 sen, jadi rakyat yang tidak dapat masih terima 21 sen subsidi,” katanya.

Harga petrol RON95 akan diapungkan bermula Jan 2020 berikutan pengenalan Program Subsidi Petrol (PSP) baru-baru ini.