Wakil rakyat sedih anak pekerja Utusan diberi teh O kerana tiada duit beli susu

Utusan Melayu Bhd diasaskan pada 1939 dan berhenti operasi semalam.

KUALA LUMPUR: Wakil rakyat Pakatan Harapan merayu Kementerian Sumber Manusia membantu semua kakitangan Utusan Melayu Bhd yang kehilangan kerja, selepas operasi syarikat itu dihentikan semalam.

Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) sedih dengan nasib yang menimpa kakitangan Utusan Melayu kerana tidak mendapat bayaran gaji dan pampasan.

“Tidak boleh berkompromi, kita tidak boleh biarkan korporat menekan pekerja. Saya diberitahu anak-anak mereka ini bukan susu dibagi, tapi teh O. Saya dengar menitis air mata, jadi saya rasa ini tidak boleh dibiarkan.

“Saya minta pegawai (kementerian) siasat, tolong pekerja Utusan kerana mereka mengharapkan pertolongan kita,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 di Dewan Rakyat malam tadi.

Beliau berharap RUU itu yang diluluskan melalui undi suara semalam, dapat membantu pekerja seperti kakitangan Utusan Melayu.

Bekas presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu turut menggesa Kementerian Sumber Manusia memastikan pengurusan Utusan Melayu membayar tunggakan gaji dan pampasan sewajarnya kepada pekerjanya.

“Saya diberitahu mereka diarah kemas semua barang hari ini (semalam). Minta menteri cari jalan bagaimana nak bantu mereka ini. Sept tak dapat gaji dan Okt kena notis, surat tidak diberi.

“Mereka dizalimi pengurusan sebegitu.”

Utusan Melayu yang diasaskan pada 1939 berhenti operasi semalam susulan lembaga pengarahnya pada 7 Okt lalu meluluskan cadangan penggulungan sukarela pemiutang dan melantik UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pelikuidasi interim.

Ia selepas Utusan Melayu pada Isnin lalu mengumumkan pelepasan 70 peratus pegangan dalam anak syarikatnya Dilof Sdn Bhd kepada Aurora Mulia Sdn Bhd, pemegang saham utama Media Prima Berhad.

Tetapi, Pengerusi Eksekutifnya, Abd Aziz Sheikh Fadzir dilaporkan berkata, akhbar Utusan Malaysia yang diterbitkan syarikat itu akan muncul semula di pasaran di bawah pengurusan baru.