Anwar: Manfaat kekuatan Islam untuk pecahkan tembok perkauman sempit

Anwar Ibrahim.

SHAH ALAM: Umat Islam perlu ke depan memecahkan benteng perkauman bagi membina negara yang adil dah saksama.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata, umat Islam perlu sedar kekuatan sebenar Islam adalah keupayaannya memecahkan tembok perkauman yang sempit dan menyatupadukan rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Islam melenyapkan prinsip perkauman yang sempit dan menekankan prinsip kemanusiaan,” katanya ketika menyampaikan pidato di Seminar Nasional Hidup Bersama Dalam Kepelbagaian: Pembinaan Bangsa dan Budaya Damai hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menangkis tanggapan orang Islam tidak boleh melantik bukan Islam sebagai pemimpin atau berkawan rapat.

Menyorot sejarah penghijrahan Nabi Muhammad dari Mekah ke Madinah, Anwar berkata semasa penghijrahan itu terdapat seorang yang bukan beragama Islam turut membantu Nabi Muhammad dalam penghijrahan berkenaan.

“Jika Islam melarang orang Islam rapat dengan bukan Islam bagaimana Rasulullah boleh menerima bantuan seorang yang bukan Islam dalam antara peristiwa terbesar umat Islam itu sehingga ia diangkat menjadi tarikh permulaan tahun Islam,” katanya.

Di seminar berkenaan juga Anwar turut menepis tanggapan beliau seorang yang bersikap liberal dan tidak mempunyai jiwa Melayu.

Katanya, beliau berjiwa Melayu tetapi memegang prinsip membantu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya tidak liberal, saya Melayu cuma saya bantu tolong setiap anak-anak yang memerlukan,” katanya.