Belanjawan 2020 hari ini, ‘goodies’ pulih keyakinan

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menunjukkan teks ucapan Belanjawan 2019 pada 1 Nov 2018. Petang ini beliau akan membentang Belanjawan 2020. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Di sebalik cabaran sosiopolitik dan ekonomi semakin melebar, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka membentangkan belanjawan yang berbeza teras, sekali gus memulihkan keyakinan rakyat dan pelabur.

Belanjawan 2020 dibentang hari ini, kedua sejak PH menerajui Putrajaya, dan oleh itu, penganalisis, ahli politik dan rakyat pelbagai lapisan melihat amat penting menyediakan belanjawan yang mampu “berkongsi kemakmuran dan pertumbuhan” negara.

Belanjawan bertemakan “Kemakmuran Bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif Yang Berkualiti Ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi”, dijangka memfokus kepada strategi menjana peluang pekerjaan, menjana pendapatan dan menangani kos sara hidup, dengan membantu kumpulan B40.

Sesetengah pihak melihat Belanjawan 2020, yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng 4 petang ini, tidak akan banyak berbeza berbanding Belanjawan 2019, yang memperuntukkan RM314.5 bilion berbanding bajet 2018, yang terakhir Barisan Nasional (BN) iaitu dengan peruntukan RM290.4 bilion.

Melihat kepada trend semasa dan kedudukan negara hari ini, selari dengan temanya, peruntukan Belanjawan 2020 dijangka bertambah bagi memenuhi pelbagai keperluan, cabaran dan dugaan dalam pertumbuhan ekonomi perlahan, yang turut dipengaruhi faktor luaran yang dijangka makin ‘sulit’ tahun depan.

Insentif tangani kos hidup

Mengulas kandungan Belanjawan 2020, penganalisis ekonomi Universiti Putra Malaysia, Mohd Yusof Saari memberitahu FMT, aspek mengurangkan kos sara hidup, insentif kepada rakyat mungkin boleh diperluaskan.

“Insentif penggunaan pengangkutan awam seperti mana pada tahun lalu iaitu kad tambang bernilai RM100 sebulan tanpa had.

“Kalau boleh kita gunakan kad diskaun untuk semua pengangkutan awam sebagai galakkan pada orang ramai menggunakan pengangkutan awam,” kata beliau.

FMT difahamkan Belanjawan 2020 akan berkisar kepada Wawasan Kemakmuran Bersama sebagai kesinambungan Wawasan 2020.

Justeru, ia akan memberi tumpuan kepada usaha menambah kuasa beli rakyat, mengurangkan kos sara hidup dan juga merapatkan jurang pendapatan.

Kerajaan juga disebut-sebut akan memfokus kepada strategi menambah peluang pekerjaan khususnya bagi graduan yang kadarnya dilaporkan sangat tinggi.

Dari segi politik, golongan muda perlu diberi perhatian dengan menyediakan peluang-peluang pekerjaan, lebih-lebih lagi mereka yang berumur 18 tahun ke atas akan menjadi kumpulan pengundi penting susulan pindaan undang-undang pada Julai lalu.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata beliau berharap Belanjawan 2020 akan membawa tiga berita gembira untuk golongan muda melalui penyediaan dana khas RM6 bilion bagi mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang, peningkatan RM100 elaun Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan gaji minimum RM1,200 sebulan.

Menggalak ekonomi digital

Belanjawan 2020 dijangka mengumumkan insentif bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

Langkah itu bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, tetapi juga meningkatkan pendapatan boleh guna dalam kalangan rakyat, terutama mereka yang mencari peluang pekerjaan kali pertama.

Merujuk pada tema tersebut, Mohd Yusof memberitahu jika peruntukan sebanyak RM6 bilion untuk mewujudkan 350,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi, sebenarnya tidak cukup.

“Sepatutnya bajet disalurkan kepada sektor tertentu untuk merancakkan aktiviti yang mempunyai potensi terhidang luas seperti pertanian dan pembangunan luar bandar.

“Bidang ini sebenarnya ada banyak ruang seperti pertanian moden dan sektor pelancongan luar bandar di mana setiap kawasan luar bandar berpotensi untuk menjadi kawasan pelancongan domestik dan budaya serta sesuai mewujudkan hab industri kecil dan sederhana (SME),” katanya.

Syamsyul Samsuddin, Koordinator Program Ijazah Kewangan dan Pelaburan Universiti Teknologi Mara berkata, isu subsidi minyak dan subsidi hospital yang membabitkan peruntukan besar oleh kerajaan dan isu belia serta kadar pengangguran di kalangan belia dilihat sebagai agenda menarik untuk didengari dalam belanjawan kali ini.

Belanjawan 2020 tidak akan ada banyak ‘goodies’ tetapi akan memperkenalkan strategi dan insentif bagi merangsang ekonomi dan menjana pendapatan bagi mengharungi kos hidup.

Sementara ada cadangan agar kerajaan mengembalikan GST bagi menambah khazanah kerajaan pusat, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam memberi bayangan tiada pengurangan cukai dalam Belanjawan 2020.

“Anda tidak boleh turunkan cukai dan kemudian naikkan subsidi, perlu ada keseimbangan,” kata beliau. Kata Mahathir, kerajaan memerlukan wang jika ia mahu meningkatkan kadar subsidi.

FMT juga difahamkan kerajaan akan menyediakan imbuhan atau bonus kepada kakitangan awam.

Belanjawan 2020 juga dilihat akan memfokus kepada usaha menarik pelaburan dan juga merancakkan ekonomi digital di pelbagai peringkat.