Najib setuju beri keterangan fitnah pemimpin DAP, kata polis

Najib Razak didakwa memfitnah Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming di Facebook.

KUALA LUMPUR: Polis berkata pihaknya telah menghubungi bekas perdana menteri Najib Razak berhubung dakwaan memfitnah Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming di Facebook.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid berkata Najib akan disiasat di bawah Seksyen 500 fitnah jenayah.

“Saksi termasuk Najib dan polis telah hubungi beliau.

“Beliau setuju ke Bukit Aman beri keterangan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman Anjuran Jabatan Pengurusan.

Selasa lalu, Nga yang juga timbalan speaker Dewan Rakyat hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dimuat naik melalui satu hantaran di akaun Facebook.

Pada 29 September, hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook “Nga Kor Ming Super Fans Page” tersebar di media sosial yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwibahasa di Selangor.

Bagaimanapun, Nga menafikan beliau ada kaitan dengan hantaran berkenaan dan mendakwa akaun Facebook itu adalah palsu.

Mengulas lanjut, Mior berkata beberapa saksi lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan dalam kes fitnah itu.

“Jika saksi enggan beri keterangan kita akan keluarkan Seksyen 111 untuk paksa saksi datang kepada kita bagi memberi keterangan,” katanya.

Mior berkata Nga juga akan dipanggil semula berhubung kes fitnah di bawah Seksyen 500.

Dalam perkembangan lain, Mior berkata bagi siasatan hina Sultan Selangor di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan sudah selesai.

Katanya, Nga memberi kerjasama dan menyerahkan telefon bimbitnya kepada polis.