Nur Azura Yamani pelengkap rumahtangga Jamal Abdillah

Raja Pop Jamal Abdillah bersyukur kerana akhirnya beliau dianugerahkan anak perempuan yang dianggap sebagai pelengkap dalam rumahtangganya dengan Zai Izzati Khiruddin.

Isterinya Zai Izzati selamat melahirkan cahaya mata perempuan, Nur Azura Yamani, 5.35 petang semalam secara pembedahan di pusat perubatan swasta Shah Alam.

“Alhamdulillah, ia adalah anugerah terindah daripada Allah SWT kerana sudah lama saya menanti kehadiran cahaya mata perempuan sekali gus melengkapkan rumah tangga.

“Isteri dimasukkan ke wad bersalin semalam dan pada jam 5.35 petang, pembedahan selamat dijalankan,” katanya memetik laporan media.

Penyanyi lagu Kasih Ibu itu sebelum ini mendedahkan memilih nama anak yang bakal dilahirkan sempena filem dibintanginya, Azura.

Jamal turut meluahkan perasaan syukur kerana Zai Izzati selamat melahirkan anak yang sihat, putih melepak dan seiras dengan wajahnya yang seberat 2.7 kilogram.

Mengulas mengenai keadaan isterinya pula, kata Jamal, sebelum dibenarkan pulang ke rumah, Zai Izzati, 25, perlu ditahan selama beberapa hari di wad.

“Maklumlah, isteri melahirkan anak secara pembedahan dan doktor mahu memastikan keadaannya okey dulu sebelum pulang ke rumah.

“Isteri juga akan menjalani tempoh berpantang di kediaman kami di Shah Alam selepas keluar dari wad nanti,” katanya.

Perkahwinan dengan Zai Izzati merupakan kali keempat buat Jamal. Mereka mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.

Jamal sebelum ini mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali iaitu bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad.

Bagaimanapun, ketiga-tiga perkahwinan tersebut menemui kegagalan.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]