Pecah amanah: 4 daripada 21 peguam dicari sudah serah diri

Pengarah JSJK Bukit Aman, Mohd Zakaria Ahmad

KUALA LUMPUR: Polis berkata empat daripada 21 peguam dicari telah tampil memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman berhubung kes penipuan dan pecah amanah membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Mohd Zakaria Ahmad berkata keempat-empat peguam terbabit telah dibebaskan setelah selesai direkod keterangan.

“Usaha mengesan mereka yang dicari ini masih dijalankan. Berdasarkan maklumat, lima peguam dikesan berada di luar negara.

“Kita akan gunakan saluran tertentu untuk mendapatkan maklumat selain akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi-agensi lain yang wajar untuk membantu kita,” kata beliau pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Bukit Aman.

Pada 3 Okt lalu, JSJK Bukit Aman menyenaraikan 21 peguam diburu kerana disyaki terbabit dalam 39 kes penipuan dan pecah amanah dengan kerugian berjumlah RM30.4 juta.

Sebelum ini, Zakaria berkata kes penipuan dan pecah amanah itu telah dilakukan sejak 2012 dan lima daripada suspek telah melarikan diri ke luar negara manakala selebihnya masih berada dalam negara.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, pihaknya telah menahan 34 individu dipercayai terbabit dalam kegiatan pinjaman wang haram atau ‘ah long’.

“Seramai 33 daripadanya telah dituduh di mahkamah, manakala seorang lagi sedang menunggu arahan daripada timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya,” katanya.

“Diharap individu-individu yang dicari ini tampil untuk beri kerjasama dan memudahkan siasatan polis,” katanya.