Pemaju akan naik harga untuk tarik warga asing, kata persatuan

Warga asing akan dibolehkan membeli rumah bernilai RM600,000 mulai tahun depan.

PETALING JAYA: Kumpulan mewakili pembeli rumah hari ini memberi amaran kemungkinan pemaju menaikkan harga bagi menarik pembeli asing susulan langkah membolehkan warga asing membeli rumah bernilai RM600,000 bermula tahun depan.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) Chang Kim Loong berkata keadaan itu akan menekan orang tempatan keluar daripada pasaran rumah.

Chang berkata ada kemungkinan warga Singapura berpusu-pusu ke Johor Bahru untuk membeli hartanah kerana harga di situ lebih murah berbanding dengan harga di republik itu.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata keputusan baru itu bagi mengurangkan lambakan pangsapuri tidak terjual, bernilai RM8.3 bilion pada suku kedua 2019. Ketika ini, warga asing hanya dibenarkan membeli hartanah bernilai lebih daripada RM1 juta.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin sebelum ini berkata dia merancang untuk menganjurkan satu lagi kempen pemilikan rumah yang menyasarkan pembeli China dan Hong Kong.

Juruukur hartanah bertauliah, Ernest Cheong berkata had RM1 juta itu bertujuan untuk melindungi orang tempatan daripada persaingan dengan warga asing.

Beliau berkata pemaju sepatutnya diminta mengurangkan harga hartanah supaya lebih mampu dimiliki oleh orang tempatan.

Pemangku Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata mereka membantah sekeras-kerasnya penurunan harga siling untuk warga asing.

“Keputusan yang tidak bijak oleh Pakatan Harapan. Mereka sepatutnya tumpu pada menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat.

“Selain itu, hal menetapkan harga siling rumah sepatutnya bawah bidang kuasa negeri-negeri. Kita tak tahu adakah kerajaan negeri akan ikut,” katanya.