PM Iraq lantik 2 menteri baru susulan rusuhan, janji laksana pembaharuan

Anggota polis persekutuan Iraq di Baghdad, Iraq, beberapa hari selepas protes antikerajaan yang mengorbankan lebih 100 orang. (Gambar Reuters)

BAGHDAD: Iraq melantik menteri pendidikan dan kesihatan baru semalam, sehari selepas Perdana Menteri Adel Abdul Mahdi berjanji untuk merombak kerajaannya dan merangka pembaharuan bagi menangani rusuhan.

Suha Khalil adalah salah satu dari beberapa wanita yang telah menjadi menteri di Iraq.

Pelantikannya telah diluluskan oleh parlimen, yang turut mengundi pelantikan menteri kesihatan baru, Jaafar Allawi, selepas penyadangnya berhenti sebelum protes antikerajaan minggu lalu.

Perubahan tidak mungkin dapat memuaskan rakyat Iraq setelah lebih 110 orang terbunuh dalam tindakan keras kerajaan terhadap demonstrasi yang bermula minggu lepas berhubung isu pekerjaan, perkhidmatan dan rasuah.

Penunjuk perasaan menyalahkan kelas politik yang berpecah dan rasuah atas kegagalan mempertingkatkan taraf hidup walaupun pada masa damai sekarang, kira-kira dua tahun selepas IS diisytiharkan kalah di Iraq. Rusuhan minggu lalu merupakan cabaran keselamatan terbesar bagi Iraq sejak itu.

Adel, yang pada Rabu mengisytiharkan tiga hari berkabung peringkat kebangsaan, berkata beliau tidak mengarahkan penggunaan peluru hidup dan mengumumkan langkah-langkah bagi menenangkan penunjuk perasaan termasuk rombakan kabinet, hukuman ke atas pegawai rasuah, peluang pekerjaan bagi penganggur dan bantuan bagi golongan miskin.