Putrajaya digesa telus mengenai subsidi petrol B40 di Malaysia Timur

Harga petrol RON95 di Sabah dan Sarawak akan kekal pada paras RM2.08 seliter.

KUCHING: Seorang ahli Parlimen Sarawak menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersikap telus berhubung skim subsidi petrol kepada kumpulan berpendapatan rendah B40.

Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri berkata, rakyat Sarawak berhak tahu bagaimana kajian dijalankan dan kenapa kosnya terlalu mahal kerana mereka tidak termasuk dalam skim tersebut.

“KPDNHEP perlu telus mengenai mekanisme skim subsidi bersasaran itu kerana dilaporkan RM25 juta dibelanjakan bagi membangunkan mekanisme subsidi itu,” katanya kepada FMT.

Beliau juga mempersoalkan sikap “tutup mulut” kementerian berkenaan berhubung subsidi untuk pengguna diesel di Sabah dan Sarawak.

“KPDNHEP tidak menyebut apa-apa berhubung harga diesel di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Malah katanya, menteri terbabit menyebut harga RON95 di Sabah, Sarawak dan Labuan akan kekal pada paras RM2.08 seliter kerana ramai daripada mereka juga merupakan pengguna diesel.

“Apakah akan ada subsidi diesel? Kenapakah menteri tidak menyebut apa-apa tentangnya?”

Beliau juga kecewa berhubung kenyataan terbaru Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail bahawa kerajaan akan mengekalkan harga RON95 di Sabah, Sarawak dan Labuan pada paras RM2.08 seliter.

“Skim subsidi bersasaran hanya akan memberi manfaat kepada pemilik kereta dan motosikal di Semenanjung yang juga merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Jika itu hujahnya, maka kenapa Sabah dan Sarawak tidak dimasukkan sekali?”

Nancy Shukri.

Nancy berkata, di Sarawak juga terdapat bilangan penerima BSH yang agak besar dan rasional untuk meminggirkan rakyat Sarawak yang juga merupakan penerima BSH tidak boleh diterima.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan tidak mengambil kira manifesto mereka yang melihat Sarawak sebagai negeri miskin ketika menggubal dasar tersebut.

“Sebelum pilihan raya umum ke-14, mereka (kerajaan Pakatan Harapan) menganggap kita sebagai negeri miskin. Jika mereka jujur tentangnya, maka mereka juga perlu memasukkan Sarawak dalam dasar itu.”

Katanya, rakyat mula menyedari bahawa keputusan kerajaan persekutuan tidak konsisten.

“Lebih buruk lagi, timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna sendiri merupakan ahli Parlimen dari Sarawak.

“Kenapa beliau tidak bersuara bagi pihak rakyat Sarawak?”

Pada Isnin, Saifuddin mengumumkan satu program subsidi petrol yang akan bermula 1 Jan 2020 untuk golongan berpendapatan rendah dalam usaha mengurangkan kos hidup kumpulan itu.

Beliau berkata, pemilik kenderaan di Malaysia Timur dan Labuan tidak layak mendapat manfaat daripada program subsidi petrol kerana pengunaan mereka lebih rendah berbanding di Semenanjung.

Harga petrol RON95 di Sabah dan Sarawak ditetapkan pada paras RM2.08 seliter, yang juga merupakan kadar subsidi.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata, pemilik kereta di Sarawak akan terus menikmati subsidi petrol semasa.

“Apabila sistem subsidi bersasaran bermula pada Januari tahun depan, harga RON95 di Sarawak akan menjadi lebih rendah daripada di Semenanjung. Ini adalah pertimbangan khas untuk Sarawak dan Sabah.

“Buat pertama kalinya akan ada barang di Sabah dan Sarawak yang lebih murah berbanding di Semenanjung. Ini tidak pernah berlaku ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN),” katanya.

Berkaitan harga diesel, Chong berkata, dasar mengenainya akan diumumkan oleh menteri kewangan dalam masa terdekat.

Dianggarkan sejumlah 2.9 juta orang dijangka mendapat manfaat daripada skim subsidi itu dan menelan kos kira-kira RM65.4 juta sebulan.