Republikan gesa sekatan, hukum Turki serang Syria

Pengerusi Persidangan Republikan Dewan Perwakilan AS, Liz Cheney. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: Dua puluh sembilan anggota Dewan Perwakilan parti Presiden Donald Trump, Republikan memulakan usul mengenakan sekatan terhadap Turki ekoran tindakan ketenteraan Ankara terhadap militan Kurdis di Syria.

Sehari selepas Republikan dan Demokrat mengumumkan undang-undang serupa di Senat, penggubal undang-undang termasuk pemimpin Republikan Kevin McCarthy, Whip Steve Scalise dan pemimpin parti lain, berkata mereka mahu satu tindakan tegas terhadap Turki.

“Presiden (Recep Tayyip) Erdogan dan rejimnya mesti berhadapan dengan akibat serius kerana menyerang Kurdis di Syria utara,” kata Pengerusi Persidangan Republikan Dewan Perwakilan, Liz Cheney dalam satu kenyataan.

Ia tidak dengan segera menjelaskan bagaimana undang-undang itu akan dibawa ke Dewan Perwakilan, yang dikuasai Demokrat.
Pada Ahad lalu, Trump secara tiba-tiba mengubah dasar dan berkata beliau menarik balik pasukan Amerika Syarikat dari timur laut Syria, dipercaya tindakan yang membuka jalan untuk Turki melancarkan serangan di sempadan.

Turki memulakan serangan segera terhadap militan Islam, pada hari Rabu dan Khamis, membunuh puluhan dan memaksa beribu-ribu orang melarikan diri.