
NEW DELHI: Syarikat-syarikat Malaysia sedang mengenal pasti rakan kongsi francais di India bagi merebut potensi pertumbuhan keusahawanan di negara itu.
Pameran francais India yang bermula pada Sabtu, mengetengahkan beberapa jenama terkemuka di Malaysia, termasuk The Manhattan Fish Market, Marrybrown, MuzArt, Celmonze dan Global Art.
Tiga agensi – Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Persatuan Francais Malaysia – juga mengambil bahagian di bawah naungan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada Ekspo Francais India 2019 di Pragati Maidan di New Delhi, yang berlangsung selama dua hari.
Sektor utama yang diwakili pada pameran itu termasuk makanan dan minuman, runcit, pendidikan, gaya hidup, fesyen, dan kesihatan dan kesejahteraan.
Peserta Malaysia akan meneroka peluang untuk bekerjasama dengan rakan francais India yang berpotensi dan mengembangkan kehadiran mereka dalam pasaran pengguna tempatan yang menjanjikan keuntungan, kata Mohd Feisal Ezuan, Pesuruhjaya Perdagangan di Pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Mumbai.
“Kami harapkan penyertaan ini akan menjana minat India dalam jenama Malaysia dan kami akan mendapat manfaat daripada interaksi dengan pekerja industri dan perunding,” kata Feisal.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum ini menganjurkan misi perdagangan ke Bangkok dan Jakarta.